KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Berhad mencadangkan supaya satu mekanisme pendanaan perantara berasaskan perkongsian risiko diwujudkan bagi membantu usahawan alumni program iTEKAD mengembangkan perniagaan ke peringkat seterusnya tanpa dibebani kos pembiayaan yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, ramai peserta iTEKAD telah berjaya meningkatkan perniagaan hasil geran permulaan yang diterima, namun bergelut dengan pembiayaan komersial selepas tamat program tersebut.
Katanya, iTEKAD adalah inisiatif kewangan sosial oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggabungkan geran modal permulaan, pembiayaan mikro, serta latihan perniagaan untuk membantu usahawan asnaf dan B40 memulakan atau mengembangkan perniagaan.
“Apabila mereka menamatkan program iTEKAD dan memohon pembiayaan komersial, ada yang dikenakan kadar sekitar 12 hingga 14 peratus kerana dianggap sebagai perusahaan mikro yang berisiko tinggi.
“Akhirnya mereka yang sudah melangkah tiga tapak ke hadapan terpaksa berundur dua tapak ke belakang,” katanya ketika menjadi ahli panel pada Forum Kewangan Islam bertajuk ‘Daripada Dasar kepada Rakyat: Memperkukuh Impak Kewangan Islam’ di Simposium Sasana 2026, anjuran BNM di sini hari ini.
Antara panel yang terlibat ialah Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamed; Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki serta Pengarah Jabatan Kewangan Islam BNM, Nurul Izza Idris sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Raja Teh Maimunah berkata, jurang antara geran iTEKAD dan pembiayaan komersial perlu diisi dengan satu instrumen pendanaan baharu, contohnya berasaskan kontrak perkongsian risiko seperti musyarakah.
Katanya, Kontrak musyarakah ialah perjanjian perkongsian modal, keuntungan, dan kerugian antara dua pihak atau lebih bagi menjalankan sesuatu usaha sama.
“Bukan lagi bersifat geran, tetapi institusi boleh bersama-sama memperuntukkan dana yang akan dibayar balik oleh penerima, yang kemudiannya boleh digunakan untuk membantu penerima seterusnya,” katanya.
Dimulakan oleh BNM pada 2020, program iTEKAD telah memanfaatkan sejumlah 14,363 usahawan mikro di seluruh negara setakat akhir Disember 2025. – UTUSAN










