ALOR SETAR: Pengakuan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah bahawa pentadbirannya meluluskan ladang durian Musang King di Gunung Inas yang sedia gondol, bagi memulihkan kawasan itu menjelaskan sikap budiman pemimpin berkenaan.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, penjelasan Ahmad Bashah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri ketika itu untuk melindungi dan memulih kawasan terbabit dengan segera tanpa mengetepikan prosedur kelulusan kerajaan.
“Lebih menarik, tidak pula beliau salahkan sesiapa, sama ada menteri besar sebelumnya atau selepas dirinya. Inilah sikap bertanggungjawab dan kualiti pemimpin sebenar, tampil dengan pengakuan keputusan bersama penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, tragedi Gunung Inas yang mengorbankan tiga penduduk itu patut dijadikan iktibar oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor termasuk mencari jalan penyelesaian mengelak insiden sama berulang.
“Bukan hanya Gunung Inas, malah banyak lagi kawasan tinggi yang menjadi titik panas berisiko dilanda banjir puing di tanah Kedah ini. Selaku Menteri Besar, Muhammad Sanusi sepatutnya arahkan pemantauan ketat di lokasi-lokasi berisiko terutama aspek keselamatan dan kesan alam sekitar.
“Namun malang, setelah memberi arahan untuk hentikan penanaman, seolah-olah Muhammad Sanusi lepas tangan. Sebahagian besar kawasan gondol Gunung Inas kembali terbiar walaupun saranan penanaman semula mesti segera dilakukan,” katanya.
Menurut Syed Mohd. Johan, lebih menyedihkan, setelah berlakunya tragedi itu, Muhammad Sanusi mula mempolitikkan tragedi Gunung Inas dengan episod mencari salah dan berlagak hero malah kemuncaknya dengan drama air mata ‘dosa-dosa lama’ di depan rakyat terjejas.
“Saya juga kecewa melihat Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ‘tumpang sekaki’ cuba berlagak hero menunding jari pula ke Ahmad Bashah sedangkan ketika menjadi Menteri Besar beliau boleh saja hentikan ladang Musang King di Gunung Inas jika dilaporkan bakal membawa bencana,” katanya.

Beliau berharap, mana-mana pihak tidak perlu berdrama malah menuding jari ke sana ke mari selepas ini, sebaliknya mencari jalan penyelesaian yang tepat, tuntas dan holistik untuk isu berkenaan demi masa depan Kedah.
“Janganlah terlalu ego, membuat bising, suka bermain retorik dan akuilah dengan ikhlas jika ada kelemahan dan kesilapan kerajaan pimpinan masing-masing,” katanya.
Katanya, ketika Barisan Nasional (BN) pimpinan Ahmad Bashah mengambil alih kerajaan negeri, sebahagian Gunung Inas sudah gondol ‘dicuci mangkuk’ dan berada dalam keadaan terbiar.
“Penanaman pokok Musang King pula adalah keputusan untuk menyelamatkan Gunung Inas dan mengikut garis panduan serta kebenaran agensi terlibat sehinggalah diarah berhenti untuk kajian semula,” katanya. – UTUSAN










