Filipina boleh bincang terbuka, mengapa kita takut? - Mohd. Shafie

Tuntutan kumpulan Sulu: Filipina boleh bincang terbuka, mengapa kita takut? – Mohd. Shafie

MOHD. Shafie Apdal bersama kepemimpinan Warisan Perlis dalam majlis pelancaran Warisan peringkat Perlis di sebuah hotel di Kangar, hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu keselamatan dan kedaulatan negara khususnya berkaitan tuntutan kumpulan Sulu adalah perkara serius yang perlu dibincang dan dibahas di Parlimen.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sesi taklimat tertutup yang diadakan kepada anggota Parlimen berhubung isu itu tidak cukup membantu yang dilihat lebih kepada sejarah, rentetan atau kronologi peristiwa tersebut.

Katanya, sejarah dan rentetan berhubung perkara itu semua orang tahu yang maklumatnya boleh dicari dalam media sosial seperti Youtube atau Google.

Soalnya, mengapa Parlimen tidak dibenarkan berbahas isu berkenaan sedangkan Filipina boleh sahaja berbuat demikian di kongres atau forum-forum secara terbuka.

“Kita berharap persoalan mengenai isu keselamatan dan kedaulatan negara ini dapat dibincangkan di Parlimen. Bayangkan kita ada 222 ahli Parlimen boleh bersuara, berbahas dalam isu berkenaan dan menyokong bahawa kita adalah negara yang berdaulat.

“Filipina boleh bincang di kongres dia, merata tempat forum, takkan kita tak boleh bincang di Malaysia, takut apa.

“Perbincangan dan perbahasan itu penting untuk kita dengar daripada kerajaan apa langkah untuk mengatasi masalah ini dalam keadaan rakyat juga tak tahu menahu. Soal keselamatan ini jangan ambil ringan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Warisan peringkat negeri ini di salah sebuah hotel di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen dari Sabah tetap mahu isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap aset negara ini dibahaskan di Parlimen walaupun Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah memberi penjelasan dalam pertemuan tertutup kelmarin.

Ahli-ahli Parlimen Warisan juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan taklimat tertutup tersebut yang disifatkan tidak menyeluruh.

Kelmarin, satu sesi taklimat tertutup diadakan kepada anggota Parlimen berkaitan isu tuntutan kumpulan Sulu dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta ahli-ahli Parlimen.

Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, isu tersebut melibatkan tuntutan individu terhadap negara bukannya tuntutan negara dengan negara yang boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Dalam isu tuntutan Indonesia terhadap Sipadan Ligitan sebelum ini, kita bawa ke ICJ yang kemudian mahkamah berkenaan memutuskan pulau berkenaan milik Malaysia. Kalau pulau berkenaan kita boleh pertahan, takkan tuntutan (individu) kita tak boleh pertahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya