Desak Kerajaan Pusat tangani peningkatan kos sara hidup - Utusan Malaysia

Desak Kerajaan Pusat tangani peningkatan kos sara hidup

RINA Harun dalam sidang akhbar selepas menghadiri Retreat Wanita PN di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Wanita Perikatan Nasional (PN) mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.

Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun berkata, Kerajaan Persekutuan perlu serius dalam mengatasi isu itu kerana majoriti rakyat Malaysia ketika ini berada dalam keadaan tertekan dengan kenaikan pelbagai harga barang.

“Kerajaan Pusat seharusnya menyediakan satu pelan tindakan baharu bagi isu ini.

“Oleh demikian, desakan beberapa ahli politik supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin tidak perlu dilayan Kerajaan Pusat ketika ini,” katanya pada Program Retreat Wanita PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort, di sini, hari ini.

Seramai 140 pemimpin daripada beberapa komponen parti dalam gabungan tersebut menghadiri majlis terbabit, yang membincangkan isu permasalahan rakyat serta persiapan sayap Wanita PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau juga menyuarakan isu terbabit dalam siri beberapa mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Beliau mendedahkan jumlah rakyat Malaysia yang memohon bantuan melalui kementeriannya juga meningkat sejak beberapa bulan lalu.

“Wanita PN juga menggesa Kerajaan Pusat supaya segera memperkenalkan pakej rangsangan khususnya kepada golongan wanita yang berpendapatan rendah. Mengambil serius isu ini, Wanita PN akan mengadakan sesi Perbincangan Meja Bulat Wanita Bangkit pada minggu hadapan di Shah Alam.

“Kita akan menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin wanita bagi mendapatkan pandangan serta idea baharu berkaitan kos sara hidup serta pemerkasaan wanita di Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN