Bunuh lelaki di tanah perkuburan, pasangan kekasih didakwa - Utusan Malaysia

Bunuh lelaki di tanah perkuburan, pasangan kekasih didakwa

SUSPEK diiringi oleh polis semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki menggunakan parang di kawasan tanah perkuburan lama di Kampung Gondang, Ketereh dekat sini, dua bulan lalu.

Tertuduh, Maizatul Shima Abdullah, 21, dan teman lelakinya, Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-kedua tertuduh didakwa secara bersama dengan niat melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian Muhamad Fahmi Adli Mat, 24, dengan menetak tubuh badan mangsa menggunakan parang.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di kawasan perkuburan Islam lama di Kampung Gondang, Ketereh kira-kira pukul 10 malam pada 14 Mei hingga pukul 1 pagi, 15 Mei lalu.

Maizatul Shima dan Muhammad Zaim didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki yang memakai baju-T berwarna hitam dan berseluar jeans biru lusuh ditemukan terapung di Sungai Kelantan berhampiran Pusat Operasi Sukarelawan Perikanan, Pengkalan Pasir Pekan dekat Tumpat pada 18 Mei lalu.

Mayat tanpa sebarang identiti itu ditemukan pada pukul 5 petang sejauh kira-kira 200 meter dari pusat operasi tersebut.

Selain itu, mayat lelaki itu dipercayai sudah lebih 24 jam berada di dalam sungai berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya