Seni sulaman terapi di fasa sukar, mencabar

Seni sulaman terapi di fasa sukar, mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daripada sekadar aktiviti untuk mengisi masa dan menenangkan fikiran ketika melalui fasa sukar dalam hidup, seni sulaman kini menjadi sebahagian rutin penting dalam kehidupan Nur Farisha Erina Nor Faizal Rizal, 27.

Apa yang pada awalnya hanya dicuba sebagai medium terapi diri akhirnya berkembang menjadi ruang untuk mengekspresikan kreativiti, menjana pendapatan dan berkongsi minat seni dengan masyarakat melalui jenama Tiga Gadis.

Berasal dari Kulai, Johor, pemegang diploma seni bina ini pernah bekerja sebagai pereka hiasan dalaman sebelum memilih menjadi suri rumah dan pengusaha seni sulaman sepenuh masa.

Minat terhadap dunia seni pula sudah wujud dalam dirinya sejak kecil lagi.
“Saya memang suka melukis, mewarna dan buat pelbagai kraf tangan. Disebabkan minat itu juga saya sambung belajar dalam bidang seni bina kerana cenderung kepada dunia seni sejak dulu lagi,” katanya.

 

Terapi diri
Nur Farisha Erina berkata, penglibatannya dalam seni sulaman bermula tanpa dirancang ketika melalui fasa-fasa mencabar, di awal 2024.

Ketika itu minat lama seperti melakar dan melukis terasa terlalu berat untuk dilakukan sehingga dia mencari aktiviti lain yang lebih menenangkan.

“Saya pernah cuba mengait tetapi gagal, kemudian terjumpa pula video penyulam luar negara di media sosial dan terus rasa tertarik untuk mencubanya,” katanya.

Keinginan untuk mempelajari seni sulaman pada awalnya hadir daripada keperluan untuk mencari ruang terapi dan ketenangan emosi.

Dia memerlukan satu aktiviti yang boleh dilakukan tanpa tekanan, selain membantu dirinya lebih relaks dan fokus.

“Saya mahukan sesuatu yang tenang dan boleh buat diri rasa lebih ringan,” katanya.

Karya sulaman pertama yang dihasilkannya ialah alas cawan berbentuk kucing menggunakan kit buat sendiri (DIY) yang dibeli dalam talian.

“Rasa macam tidak percaya saya dapat menyiapkan projek sulaman dan daripada situ datang minat untuk terus membuatnya lagi,” katanya.
berguru dengan YouTube

Pada peringkat awal, cabaran terbesar dihadapinya ialah untuk memahami teknik betul memandangkan seni ini masih kurang dikenali di Malaysia.

Disebabkan itu, dia banyak belajar sendiri dengan menonton video tutorial di YouTube sambil melakukan latihan berulang kali.

“Teknik memasukkan benang ke dalam jarum pun sangat penting sebab ia menentukan hasil akhir nanti. Saya banyak tengok video dan kemudian praktis, buat silap serta betulkan semula,” katanya.

Nur Farisha Erina mengambil masa berminggu-minggu untuk memahami teknik seni sulaman itu.

Katanya, selepas menguasai teknik tersebut, proses menghasilkan karya menjadi lebih cepat.

Kini, dia mampu menyiapkan satu alas cawan dalam masa 30 minit sahaja.

Proses sulaman
Proses penghasilan bermula dengan menegangkan kain monk pada hoop frame sebelum melukis corak di atas kain.

Seterusnya, benang dimasukkan ke dalam jarum sebelum proses mencucuk benang dilakukan satu per satu sehingga membentuk gelungan (loop) dan menghasilkan tekstur.

Selepas proses itu selesai, bahagian belakang disapukan dengan gam putih bagi memastikan benang tidak tertanggal sebelum kain dipotong dan digam menggunakan pistol gam panas.

Langkah terakhir ialah menampal lapisan belakang serta merapikan benang menggunakan gunting bagi memastikan hasil akhir lebih kemas dan teratur.

Antara peralatan asas yang diperlukan termasuk jarum punch needle, threader, hoop frame, kain monk, benang jenis milk cotton atau akrilik, marker, gam dan gunting.
rekaan tema makanan

Menurut Nur Farisha Erina, tempoh untuk menyiapkan sesebuah karya punch needle bergantung kepada saiz dan tahap kerumitan rekaan.

Ada yang boleh disiapkan dalam hanya beberapa minit, namun ada juga yang memerlukan sehingga berjam-jam untuk disempurnakan.

Dia juga lebih gemar berkarya pada waktu malam ketika suasana lebih tenang dan sunyi.

Antara cabaran terbesar dihadapinya ialah memastikan setiap loop benang dibuat secara sekata dan konsisten bagi mendapatkan hasil kemas.

Idea untuk menghasilkan karya baharu pula sering datang daripada Pinterest, Instagram dan perkara kecil dalam kehidupan seharian.

Dia mengakui sangat gemar bereksperimen dengan warna dan corak, terutama rekaan bertemakan makanan seperti pizza, burger, avocado, roti, ais kepal, nasi lemak dan roti canai.

“Saya pernah tengok roti canai dalam dulang waktu sarapan dan terus terfikir untuk jadikannya sebagai reka bentuk sulaman,” katanya.

Namun, ada juga karyanya yang tidak menjadi terutama ketika mencuba teknik baharu atau penggunaan kain yang kurang sesua.

Katanya, ada juga reka bentuk yang nampak cantik dalam imaginasi tetapi sukar diterjemahkan ke dalam bentuk punch needle.

“Biasanya saya akan berehat dulu, tengok Netflix dan menenangkan fikiran sebelum memikirkan semula solusi untuk menghasilkan karya itu,” katanya.

Jadi sumber rezeki
Baginya, perkara paling menyeronokkan tentang seni sulaman ialah proses transformasi daripada kain kosong menjadi karya yang cantik dan bertekstur.

Setiap loop yang dicucuk satu persatu memberi kepuasan tersendiri apabila berjaya membentuk sebuah karya.

Selain itu, dia juga terharu apabila ada pelanggan membeli dan menggunakan hasil tangannya kerana ia menunjukkan orang lain menghargai nilai karya buatan tangan tersebut.

Menurutnya, sokongan keluarga terutama suami menjadi antara faktor utama yang memberi semangat untuk terus berkarya.

Suaminya banyak membantu dalam persiapan produk, strategi perniagaan dan pengurusan reruai ketika menyertai acara seni.

Nama ‘Tiga Gadis’ pula tercetus daripada persahabatannya bersama dua rakan baik iaitu Qistina dan Hani, yang turut meminati seni kraf tangan.

Hobi yang pada awalnya hanya dilakukan secara santai akhirnya berkembang menjadi perniagaan apabila dia mula menjual hasil karyanya pada 2025 selepas menyedari jumlah pengalas cawan yang dihasilkan semakin banyak.

Sambutan yang diterima di media sosial sangat menggalakkan sehingga dia ditawarkan untuk menyertai pelbagai acara seni dan jualan di Johor.

Aktif kendali bengkel
Selain menghasilkan produk buatan tangan, dia juga aktif mengendalikan bengkel seni sulaman sejak Ogos 2025.

Sepanjang tempoh itu hingga Disember 2025, dia telah mengendalikan 12 bengkel termasuk untuk acara korporat, majlis persendirian dan pasar seni.

Pada 2026 pula, dia terus mengembangkan pengalamannya dengan mengendalikan tiga bengkel utama di Iskandar Puteri yang melibatkan seramai 20 peserta.

Keyakinan untuk mengendalikan bengkel datang secara perlahan-lahan hasil sokongan suami, rakan seni dan penganjur acara.

Dia mahu membantu lebih ramai orang mempelajari teknik sulaman dengan cara yang lebih mudah dan menyeronokkan.

 

Didik komuniti
Nur Farisha Erina berkata, ramai menganggap seni sulaman mudah kerana hanya melibatkan cucukan jarum berulang kali, namun teknik dan konsistensi sebenarnya memainkan peranan paling penting.

“Cara pegang jarum, sudut dan arah semuanya mempengaruhi hasil akhir,” katanya.

Dia berharap bengkel dan perniagaan di bawah jenama Tiga Gadis dapat terus berkembang sehingga dikenali di seluruh Malaysia dan luar negara.

Nur Farisha Erina juga bercita-cita untuk mewujudkan komuniti seni sulaman sendiri pada masa akan datang.

Seni sulaman bukan sekadar hobi atau bisnes, sebaliknya menjadi sesuatu yang membantu dirinya keluar daripada fasa gelap dalam hidup.

“Seni sulaman mengajar saya yang keindahan dan keseronokan itu ada dalam proses yang perlahan serta menenangkan,” katanya.

Setiap hasil seni buatan tangan mempunyai nilai sangat istimewa kerana setiap karya membawa bersama masa, tenaga, emosi dan jiwa pembuatnya.

“Itulah yang membuatkan kraftangan tidak ternilai kerana ia bukan sekadar produk, tetapi sebahagian daripada diri seseorang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN