Bawa seribu duka ke bumi A'zaz

Bawa seribu duka ke bumi A’zaz

SEORANG kanak-kanak mencari tin, botol lama dan sampah sarap yang boleh digunakan semula atau dijual untuk kelangsungan hidupnya sekeluarga di A'zaa, Syria. - UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

(Penulis kini mengikuti misi kemanusiaan MyCare-Econsave di Syria)

A’ZAZ, SYRIA: “Sudah besar nanti, saya nak jadi ustaz, nak jadi pemain bola sepak terkenal.”

Demikian impian Ahmad Hassan, 11, ketika berlari-lari mahu menunjukkan pingat emas yang dimenangi pasukannya dalam perlawanan bola sepak di sini, baru-baru ini.

Ahmad ditemui Utusan Malaysia ketika anggota Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave menyampaikan bantuan makanan di sebuah kem pelarian untuk ‘orang pelarian dalaman’ (IDP) al-Ukhuwah, dekat sini semalam.

Penyerahan itu disempurnakan Ketua Misi yang juga Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar dan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam.

MOHD. Zin Kandar (kiri) dan Mas Imran Adam (kanan) ketika menyerahkan pek makanan kepada salah sebuah keluarga pelarian di kem pelarian al-Ukhuwah, A’zaa.

Umur Ahmad kini menyamai usia 11 tahun bumi Syria bergolak kerana konflik yang meragut ratusan ribu nyawa manakala jutaan yang lain menjadi pelarian.

Anak sulung daripada 11 adik-beradik itu bersemangat menceritakan kemenangan pasukan bola sepaknya, keseronokan yang melindungi seribu satu kisah sedih kehidupannya sekeluarga bersama ibu dan bapa di kem pelarian berkenaan.

Kampung di Idlib, lebih 100 kilometer jaraknya dari A’zaz, musnah dibedil serangan bom.

Selaku striker dalam pasukan bola sepaknya, Ahmad bagaimanapun tidak dapat meneruskan persekolahan, satunya kerana jarak yang begitu jauh, keduanya, pendapatan ibu bapanya yang bekerja sebagai buruh, tidak mencukupi membawanya ke alam persekolahan.

“Cuma saya belajar al-Quran dan agama di dalam kem ini,” katanya yang juga anak lelaki tunggal, 10 lagi adik-beradiknya adalah perempuan.

AHMAD Hassan berbangga dengan pingat emas yang diperolehnya dalam perlawanan bola sepak di sebuah kem pelarian di A’zaz, Syria. – UTUSAN/METRA SYAHRIL MOHAMED

Ahmad antara kanak-kanak daripada 200 ahli keluarga yang mendiami kem pelarian itu yang tidak mendapat akses pendidikan formal.

Bagaimanapun di bumi A’zaz, mungkin ribuan anak-anak pelarian bukan sahaja tidak mampu untuk dihantar ke sekolah malah kebanyakan mereka terpaksa bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

‘Tiada makanan, suami tinggalkan saya’

Batul al-Soleh, 21. Kisahnya cukup tragis. Bukan sahaja sudah tiada ibu dan bapa untuk menumpang bermanja ketika berusia 15 tahun, dia ‘dipaksa’ berkahwin pada usia itu.

Namun selepas berpindah ke A’zaz dari Aleppo, suaminya menghilang begitu sahaja, meninggalkannya hidup bersama si Soleh, 6, Fatimah, 3, dan anak bongsunya yang baru berusia setahun tiga bulan, Rahaf.

Rahaf pula menghidap kekurangan zat dan mereka berempat menyewa khemah di belakang sebuah rumah dekat sini.

BATUL al-Soleh bersama tiga anaknya hidup menyewa di sebuah khemah di A’zaz.

Dalam usia yang muda itu, Batul menjadi buruh di sebuah ladang berhampiran dan membawa ketiga-tiga anaknya bersama ketika bekerja.

“Lihatlah, saya tiada apa hendak makan. Tujuh tahun lalu kami datang ke sini. Saya kini sudah tiada saudara-mara lagi. Saya hanya berharap, berdoa kepada Allah untuk makan dan bantuan-bantuan lain.

“Perang ini memusnahkan segala-galanya,” katanya.

Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave turut menghulurkan bantuan kewangan kepada Batul dan anak-anaknya.

Aidiladha semakin dekat, kami tiada ayah’

“Eid is coming and we are alone, eid is coming, we live without father (Hari Raya nak tiba dan kami keseorangan, hari raya nak tiba, kami tanpa ayah)”.

Itu antara bait-bait puisi yang diterjemahkan daripada bahasa Arab, dilafazkan Abdul Kadir Abdul Aziz, 9, ketika dibawa memilih kasut kegemarannya di sebuah pasar raya di sini.

Datang bersama ibunya, Ibtisam Abu Shaar, 26, dan dua adiknya yang masih kecil, Abdul Kadir kini ditempatkan di sebuah rumah anak yatim kendalian Ataa Relief, bagi membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik.

Belajar puisi melalui ibunya, ia antara lain turut mengajak semua untuk bangkit semula kerana Syria sudah musnah.

Mereka berasal dari Homs, sejauh lebih 200 kilometer dari A’zaz. Bapa Abdul Kadir meninggal dunia akibat serangan bom.

Melalui penterjemah dari Ataa Relief, Abdul Aziz Mansour, Abdul Kadir menceritakan dia memerlukan sokongan keluarga, paling tepatnya kasih sayang seorang bapa, untuk mengambil berat akan kehidupannya.

‘Semua tinggalkan Syria, aku pilih berkhidmat di sini’

Dalam pada itu, Ahmad Barak Al Ali, 54, seorang ahli terapi fizikal dan juruteknik dalam penghasilan anggota tiruan seperti tangan dan kaki di Pusat Rehabilitasi Ataa di sini, mengakui cukup beremosi ketika diberikan tugasan menghasilkan anggota tiruan berkenaan.

Masakan tidak, tangan dan kaki palsu yang dihasilkannya adalah untuk kegunaan saudara sesama Islam yang menderita akibat perang.

“Ketika ahli terapi fizikal lain meninggalkan Syria untuk mencari ‘rumput yang lebih hijau’ berbanding di sini, saya pilih untuk terus berkhidmat di Syria. Setiap kes (penghasilan anggota tiruan), ia sangat memberikan emosi kepada saya kerana ia adalah untuk kegunaan saudara-saudara saya sesama Muslim.

“Semua ini (kes) adalah disebabkan peperangan. Ini tanggungjawab saya untuk menyokong kehidupan mereka,” katanya yang sudah 35 tahun berpengalaman dalam penghasilan anggota badan tiruan.

AHMAD Barak Al Ali selepas memasang kaki palsu pada Ghazi Taha di Pusat Rehabilitasi Atta di A’zaa.

Ahmad Barak merupakan bekas penuntut Universiti Baghdad, Iraq dan pernah bertugas di negara itu selain di Jordan.

Ghazi Taha, 62, berasal dari Idlib, merupakan salah seorang mangsa perang dan cacat kaki sebelah kirinya, mendapat ‘sentuhan kemanusiaan’ daripada Ahmad Barak untuk mendapatkan kaki palsu.

Kisah Ahmad, Batul, Abdul Kadir dan Ahmad Barak merupakan cerita derita Syria dan kebanyakan mereka ‘berteduh’ di A’zaz yang berada di bawah kawalan keselamatan Turki.

Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave akan ke Jarabulus, kira-kira 112 kilometer dari A’zaz.

Hulurkan keprihatinan anda dengan menyumbang ke tabung kemanusiaan Syria di tabung-tabung yang terletak di pintu keluar pasar raya Econsave di seluruh negara atau ke akaun MyCare iaitu di akaun CIMB Islamic 8602135592. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya