PETALING JAYA: Kerajaan mampu berjimat hingga RM4.9 juta sebulan atau RM58.9 juta setahun jika 16,364 unit kuarters guru terbiar di seluruh negara didiami warga pendidik baharu.
Ia berdasarkan pengiraan guru-guru yang mula berkhidmat pada gred DG41 akan dibayar imbuhan tetap perumahan (ITP) RM300 sebelum menerima RM400 pada gred DG44 dan RM550 untuk gred DG48.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pendidikan segera membaiki lebih 16,000 kuarters guru yang pernah dilaporkan terbiar dan menyewakannya kepada kakitangan awam yang lain.
Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan kerajaan terus menanggung kerugian sekiranya aset yang ada tidak dapat digunakan sebaik mungkin.
Malah, katanya, mana-mana kerosakan juga perlu dibaiki segera bagi mengelakkan lagi sebarang kenaikan kos pembaikan itu jika terus dibiarkan.
“Pihak bertanggungjawab perlu baiki kuarters yang telah rosak supaya dapat didiami penjawat awam lain yang lebih memerlukan dan tidak dibiarkan kosong, namun tetap mengutamakan golongan pendidik.
“Ramai yang menunggu dan mengharapkan untuk tinggal di kuarters guru itu, tetapi katanya tak ada peruntukan (untuk baiki), jadi kena cari peruntukan. Kalau tak ada peruntukan itu cuma alasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.
Anggaran nilai projek terbiar tersebut berdasarkan harga binaan bagi seunit kuarters sekitar RM50,000 sebuah.
Mengikut laporan Kementerian Pendidikan tahun 2019, lebih 16,000 unit masih kosong daripada jumlah keseluruhan 50,257 kuarters guru yang dibina.
Daripada jumlah yang kosong pula hanya 6,302 unit dalam keadaan baik dan boleh diduduki manakala bakinya 10,062 unit lagi rosak dan tidak boleh didiami.
Pada Disember lalu di Dewan Rakyat, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa yang bertindak merangka strategi dan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani isu kuarters yang tidak didiami.
Katanya, antara tindakan yang telah diambil bagi mengoptimumkan kekosongan kuarters adalah bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dengan menawarkan kuarters kosong tersebut menjadi kuarters kakitangan kepada kementerian dan agensi yang berminat.
Mengulas isu sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, kerajaan perlu memastikan aspek keselesaan termasuk rumah kediaman itu bebas daripada segala kerosakan sekiranya mahu warga pendidik memilih kuarters guru sebagai tempat tinggal mereka.
Namun, beliau berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan sesuatu bagi mengelak berlakunya pembaziran susulan 16,364 unit kuarters guru yang ditinggalkan terbiar.
“Mungkin kerajaan boleh mengambil keputusan buka kuarters guru ini untuk disewa oleh pihak luar yang sesuai, ini adalah untuk kebaikan bersama bagi mengelak pembaziran.
“Guru ada pilihan masing-masing, ada di antara mereka lebih selesa untuk menyewa atau membeli rumah sendiri. Untuk tinggal di kuarters guru, saya fikir untuk sementara waktu dan peringkat awal perkhidmatan sahaja,” katanya. – UTUSAN










