Audit minyak masak kesan dalang seludup - Utusan Malaysia

Audit minyak masak kesan dalang seludup

ROSOL Wahid (dua kiri) menyampaikan hamper kepada ahli PVATM Terengganu pada majlis perjumpaan persatuan di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan audit terhadap pemain industri minyak masak bagi mengesan dalang penyeludupan barang kawalan tersebut di negara jiran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pengauditan tersebut melibatkan pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit minyak masak subsidi disyaki.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti jenama-jenama minyak masak bersubsidi tempatan yang dikesan dijual secara haram di sempadan negara jiran.

“Kita sedang menyiasat semua pemain industri terdiri daripada pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit bagi jenama terlibat.

“Siasatan dilakukan dengan mengaudit rekod pergerakan stok daripada kesemua rantaian itu bagi mengenal pasti pihak mana yang melakukan kebocoran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Terengganu di sini hari ini.

Rosol berkata, proses audit menyeluruh terbabit dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Menurutnya, dalang yang dikesan melakukan aktiviti penyeludupan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan berhadapan hukuman dibatalkan lesen.

Dalam pada itu, Rosol memberitahu setakat ini, KPDNHEP telah mengesan 70 kes kesalahan berkait minyak masak melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM85,717 sejak awal bulan ini.

Jelas beliau, antara kesalahan yang dikesan ialah cubaan menyeludup ke negara jiran, kegagalan selenggara buku stok, beroperasi tanpa lesah sah, menyorok bekalan dan mengenakan pembelian bersyarat.

Utusan Malaysia pada 11 Jun lalu melaporkan minyak masak peket Malaysia ‘pelaris’ di pasaran Golok, Selatan Thailand apabila bahan mentah itu dijual tanpa kawalan dan bebas.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa pula dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan, kesemua bekalan minyak masak bersubsidi yang diseludup masuk ke sempadan Thailand dipercayai datang terus dari kilang.

Beliau berkata, kebanyakan kawasan di sempadan negara tersebut sentiasa menerima bekalan minyak masak yang dijual pada harga sehingga RM8 sepeket berbanding RM2.50 di pasaran tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN