KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan sepenuhnya kepada syarikat pengeluar minyak Malaysia, Petronas untuk membuat sebarang kenyataan susulan asetnya yang dilaporkan dirampas.
Perkara itu dinyatakan Ismail Sabri kepada pemberita selepas melancarkan Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, di sini, hari ini.
“Petronas akan buat statement (kenyataan),” katanya ringkas.

Semalam, media melaporkan waris Kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut AS$14.92 (RM62.59 bilion) dari Malaysia merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg.
Petronas dalam kenyataannya semalam mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à r.l. itu menerima notis ‘Saisie-arret’.
‘Saisie-arret’ bermaksud tindakan rampasan bagi mendapatkan jumlah penghakiman/keputusan (award) timbang tara yang diperoleh.
“Hasil daripada pelupusan ini telahpun dipulangkan (repatriated) dengan sewajarnya.
“Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan kami daripada segi undang-undang dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN










