Andalusia muncul agensi pertama hantar umrah musim 1444 Hijrah

Andalusia muncul agensi pertama hantar umrah musim 1444 Hijrah

IDA Riswana Idris (kanan) beramah mesra dengan jemaah umrah, Ahmad Kassim, 74 (dua kiri) isteri, Halisan Kaimon, 72 (tiga kiri) dan anaknya, Kirman Ahmad, 45 (kiri) sebelum berangkat ke Tanah Suci pada penerbangan pertama umrah Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. musim 2022/2023 (1444H) di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Meskipun musim umrah baharu 1444 Hijrah belum lagi bermula, namun Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. muncul agensi pertama berjaya menghantar kumpulan jemaahnya.

Seramai 175 orang dari seluruh Malaysia ‘bertuah’ apabila dipilih menjadi kelompok sulung jemaah ibadah itu dengan berlepas menerusi penerbangan terus ke Jeddah, Arab Saudi hari ini.

Uniknya, kumpulan itu bukan sahaja bertembung dengan jemaah haji dari seluruh dunia yang masih berada di sana, malah sepanjang minggu ini dapat merasai dua tahun Hijrah berbeza.

Lebih menarik, pemergian mereka diraikan sendiri oleh Pengarahnya, Ida Riswana Idris dengan menyantuni jemaah yang akan memasuki dahulu Madinah sebelum ke Mekah pada Jumaat.

“Alhamdulillah, ini julung kali dalam sejarah kami jadi agensi pertama dapat hantar jemaah umrah ketika ratusan ribu jemaah haji masih ada di tanah suci hingga pertengahan Ogos depan.

“Kami difahamkan ada anak-anak buat umrah ini sebab rindu mahu jumpa ibu bapa mereka sendiri yang kebetulan belum balik lagi dari ibadah fardu haji,” katanya ketika ditemui pemberita.

Kumpulan itu menaiki pesawat Airbus A330-200 milik Malaysia Airlines by Amal penerbangan MH8026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 3.10 petang.

Uniknya, mereka akan disambut sendiri Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah di hotel penginapan pajakan syarikat berkenaan di Madinah.

Jemaah itu akan berada di kota suci ini untuk ziarah selama lima hari empat malam sebelum menunaikan umrah di Mekah selama tujuh hari enam malam termasuk ziarah di bandar Taif.

Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata, sejak pembukaan sempadan pada awal Oktober tahun lalu, agensi itu hanya berjaya membawa sejumlah 15,000 jemaah untuk musim 1443 Hijrah.

“Bagi musim 1444 Hijrah pula kami sasar 60,000 jemaah dan angka ini tidak mustahil kerana sebelum sempadan ditutup sebab pandemik, kami pernah pun capai 54,000 jemaah,” jelasnya.

Beliau dalam nada optimis menambah, keyakinan itu turut berdasarkan sambutan hangat jemaah yang telah membuat tempahan lebih awal ketika dua tahun sempadan negara ini ditutup.

Justeru, beliau menjangkakan puluhan ribu jemaah mereka akan teruja mengambil peluang terbaik bagi menunaikan umrah yang tertunda pada musim baharu tahun ini dan tahun depan.

Tambahan pula ujarnya, agensi itu turut memajak tiga buah hotel di tanah suci dan memeterai perjanjian sewa khas penerbangan bersama-sama Malaysia Airlines by Amal sejak 2014 lagi.

Inisiatif tersebut jelasnya yang juga Penasihat Undang-undang syarikat itu, memberi keyakinan kepada jemaahnya mengenai jaminan dalam isu penginapan dan pengangkutan pergi balik.

Pada masa sama kata Ida Riswana, mereka juga mengambil sejumlah petugas baharu termasuk mutawif dan pembimbing ibadah sebagai persiapan bagi menyantuni lebih ramai jemaah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN