PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui wujudnya usaha sedang digerakkan pihak pembangkang untuk memancing rakan-rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN).
Namun begitu, Timbalan Perdana Menteri itu beranggapan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini adalah bersifat peribadi.
“Kita rasa kenyataan daripada Timbalan Presiden Pas adalah kenyataan peribadi beliau.
“Walaupun saya tahu ada usaha-usaha yang dijalankan mereka (Perikatan Nasional) untuk memancing rakan-rakan dalam komponen BN, dengan tawaran-tawaran yang belum tentu menjanjikan satu manifestasi yang menguntungkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas menjemput kedua-dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC untuk bergabung sambil mengambil maklum kekecewaan dua parti itu kerana dibiarkan tanpa perwakilan dalam kerajaan.
Gesaan itu dibuat selepas sekurang-kurangnya dua bahagian MIC negeri memohon untuk keluar daripada BN kerana kecewa dipinggirkan.











