MADRID: Ubat penurunan berat badan mampu mengurangkan sehingga separuh risiko pesakit jantung dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia lebih awal.
Kelas ubat yang dikenali sebagai GLP-1 agonists itu memberi manfaat ‘dramatik’ kepada pesakit jantung dengan mengurangkan secara signifikan risiko mereka jatuh sakit serius atau meninggal dunia akibat sebarang punca.
Penemuan yang diumumkan pada persidangan kardiologi terbesar dunia di Madrid itu membuka ruang untuk jutaan pesakit jantung mendapat manfaat, sekali gus membantu mereka menjalani kehidupan lebih panjang dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital.
Ubat tersebut meniru hormon glucagon-like peptide (GLP-1) yang membuatkan seseorang berasa kenyang dan pada asalnya dibangunkan untuk merawat diabetes.
Kajian baharu yang dibentangkan pada Persidangan Tahunan Persatuan Kardiologi Eropah mendapati ubat penurunan berat badan mampu mengurangkan risiko kemasukan hospital atau kematian awal sehingga 58 peratus dalam kalangan pesakit jantung.
Penyelidik dari Mass General Brigham di Boston menganalisis data dunia sebenar lebih 90,000 pesakit kegagalan jantung yang mengalami obesiti dan diabetes jenis 2. Semua peserta menghidap kegagalan jantung dengan pecahan ejeksi terpelihara (HFpEF), bentuk paling lazim bagi keadaan itu.
Hasil kajian menunjukkan pesakit yang mengambil semaglutide mencatat 42 peratus risiko lebih rendah untuk dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia awal berbanding kumpulan kawalan.
Sementara itu, tirzepatide didapati menurunkan risiko tersebut sehingga 58 peratus.
Secara global, lebih 60 juta orang menghidap kegagalan jantung. Kajian terdahulu hanya mencadangkan ubat penurunan berat badan dapat membantu mengurangkan simptom kegagalan jantung, namun kesannya terhadap hasil utama seperti kadar kemasukan hospital dan kematian belum pernah dinilai dalam populasi besar sebelum ini. – AGENSI










