Pencemaran udara pendekkan umur rakyat Bangladesh

Pencemaran udara pendekkan umur rakyat Bangladesh

PENCEMARAN udara di Bangladesh disifatkan amat kritikal tahun demi tahun. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Pencemaran udara mengurangkan purata jangka hayat penduduk Bangladesh sebanyak 5.5 tahun menjadikan negara itu paling terjejas di dunia, menurut data terbaharu.

Laporan Indeks Kualiti Udara (AQLI) yang diterbitkan minggu lalu oleh Institut Dasar Tenaga Universiti Chicago mendedahkan pencemaran udara adalah ancaman luaran terbesar terhadap jangka hayat di Bangladesh, yang kini digelar sebagai negara paling tercemar di dunia.

Kesemua 166.8 juta penduduk Bangladesh tinggal di kawasan dengan tahap purata tahunan pencemaran zarah halus melebihi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima mikrogram bagi setiap meter padu udara, serta had kebangsaan Bangladesh sebanyak 35 mikrogram.

Di ibu negara Dhaka, kepekatan dilaporkan melebihi 76 mikrogram.

“Purata penduduk Bangladesh boleh hidup 5.5 tahun lebih lama sekiranya pencemaran zarah halus memenuhi garis panduan WHO,” menurut laporan itu.

Di Dhaka, kesan udara beracun lebih parah, memendekkan jangka hayat purata sehingga 6.9 tahun.

Laporan itu turut mendedahkan kualiti udara semakin merosot meskipun pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan.

“Pencemaran udara di sini sudah sampai tahap kritikal sehingga tidak perlu kajian untuk mengesahkannya, kerana ia boleh ddengan mata kasar,” kata Prof. Dr Ahmad Kamruzzaman Majumder dari Jabatan Sains Alam Sekitar Universiti Stamford, Dhaka.

Jerebu menjadi fenomena harian bagi penduduk bandar di Bangladesh, menyelubungi udara hampir setiap pagi. Namun, lebih berbahaya ialah pencemaran yang tidak kelihatan iaitu zarah halus PM2.5, partikel kecil berdiameter kurang daripada 2.5 mikrome­ter yang mampu menembusi paru-paru dan memasuki aliran darah.

Tahap PM2.5 di Bangladesh menunjukkan peningkatan mendadak sejak akhir 1990-an. Satu-satunya masa tahap tersebut menurun hanyalah ketika pandemik Covid-19 pada 2022, namun trend itu tidak kekal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN