Ambil tindakan tegas terhadap pengasas Crackhouse - Pekida JB

Ambil tindakan tegas terhadap pengasas Crackhouse – Pekida JB

TAZUL Arifin Nasri (tengah) menunjukkan gambar pengasas bersama kafe Comedy Club selepas membuat laporan polis di IPD JBS, Larkin Johor Bahru hari ini. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengasas bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel kerana mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan kaum Melayu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Johor, Tazul Arifin Nasri berkata, pihaknya membuat dua laporan, masing-masing di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Seri Alam, hari ini.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan keharmonian sesama kaum perlu dijaga.

“Rizal dan juga wanita itu (Siti Nuramira Abdullah) adalah beragama Islam. Jadi, tindakan mereka yang menghina agama sendiri akan mengundang cemuhan dan juga pandangan serong daripada masyarakat.

“Orang bukan Islam dan bukan Melayu akan lihat perbuatan seperti itu tidak salah dan dibimbangi perkara itu akan menjadi ikutan lebih ramai pihak. Jadi, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak terlibat,” katanya selepas mengadakan perhimpunan aman dan membuat laporan polis terhadap Rizal di IPD Johor Bahru Selatan, di sini hari ini. 

Perhimpunan aman itu dihadiri lebih 20 ahli Pekida Johor Bahru. Pihaknya juga berharap pihak berkuasa tempatan di kawasan berkenaan akan menutup premis tersebut.

“Jika kewujudan premis itu hanya untuk menjatuhkan imej Islam dan masyarakat Melayu, adalah lebih baik sekiranya ia ditutup terus daripada dibenarkan untuk beroperasi,” katanya.

Tazul berharap kaum Melayu dan Islam perlu bangkit untuk menyuarakan bantahan terhadap kegiatan berkenaan dan bukan hanya berdiam diri.

“Apabila filem Mat Kilau ditayangkan, ramai masyarakat Melayu bangkit dan bersuara mahu membela agama, bangsa dan tanah air, tetapi apabila isu seperti ini terjadi, mana suara-suara mereka semua,” soalnya.

Terdahulu, Siti Nuramira, 26, yang tular dalam media sosial kerana mencetuskan kontroversi tidak bermoral minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Hakim, Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan selain perlu melaporkan diri di Balai Polis Brickfields sebulan sekali sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya