Selesai korban 53 ternakan dalam tempoh tiga jam - Utusan Malaysia

Selesai korban 53 ternakan dalam tempoh tiga jam

DAGING korban diagihkan pada Majlis Ibadah Korban 2024 Surau Al - Mahabbah, Taman Desa Indah, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun jumlah ternakan yang dikorbankan mencecah sehingga lebih 50 ekor, namun hasil kerjasama dan gotong-royong ahli kariah, ibadah korban itu dapat diselesaikan dalam hanya tempoh masa tiga jam.

Menurut Pengerusi Surau Al-Mahabbah, Taman Desa Indah, Nilai di sini, Mohd. Erwan Tahir, ibadah korban yang dilaksanakan di surau itu melibatkan sebanyak 53 ekor ternakan secara keseluruhan iaitu 36 ekor lembu dan 17 ekor kambing.

“Hanya dalam tempoh tiga jam, sebanyak 53 ternakan bagi pelaksanaan ibadah korban telah siap disembelih, sebelum kerja-kerja menyiat, melapah, memotong dilakukan secara gotong-royong. Boleh dikatakan, tahun ini ternakan bagi pelaksanaan ibadah korban adalah paling tertinggi diterima dalam kalangan ahli kariah sejak tiga tahun penganjuran. 

“Alhamdulillah, tahun ini proses penyembelihan ke atas kesemua ternakan korban melibatkan enam penyembelih bertauliah telah berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga jam yang bermula pada jam 8 pagi. 

“Kami sasarkan dapat siapkan proses (penyembelihan) tersebut dalam tempoh masa empat jam dan atas kerjasama hampir 500 ahli kariah dan penduduk sekitar, prosesnya berlaku sangat pantas.” katanya ketika ditemui hari ini. 

KANAK-kanak turut didedahkan dengan cara menyembelih kambing pada Majlis Ibadah Korban 2024 Surau Al – Mahabbah, Taman Desa Indah, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Beliau berkata, antara faktor menyebabkan ramai individu ingin melakukan ibadah korban di surau itu adalah kerana harga satu bahagian ternakan lembu korban ditawarkan pada berharga RM690. 

“Kesemua agihan daging korban juga akan disalurkan kepada penduduk Islam sekitar termasuk seramai 100 golongan asnaf, fakir miskin.

“Kali ini, anak-kanak kariah berusia antara tujuh hingga 15 tahun juga turut diberi peluang merasai pelaksanaan ibadah korban dengan turut sama menyembelih ternakan kambing,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×