SYDNEY: China akan meminjamkan panda gergasi ‘comel’ baharu kepada Australia untuk menggantikan pasangan popular yang gagal menghasilkan zuriat selepas lebih sedekad bersama.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri China, Li Qiang ketika mengadakan lawatan ke negara itu pada Ahad.
Zoo Adelaide menjadi rumah kepada Wang Wang dan Fu Ni sejak 2009, apabila mereka dipinjamkan oleh China sebagai sebahagian daripada skim pemeliharaan global dan juga berfungsi sebagai alat ‘diplomasi panda’.
Pembiakan anak panda adalah tugas yang sangat sukar bagi haiwan yang mempunyai kadar kesuburan rendah dan potensi untuk bunting di Adelaide, termasuk melalui kaedah permanian sudah dilakukan berulang kali tetapi gagal.
Li mengumumkan pasangan Wang Wang dan Fu Ni akan dibawa pulang dan digantikan dengan panda baharu.
“Wang Wang dan Fu Ni berada jauh dari rumah selama 15 tahun, saya rasa haiwan itu pasti sangat merindukan rumahnya, jadi haiwan ini akan kembali ke China sebelum akhir tahun ini.
“Tetapi apa yang saya boleh beritahu ialah kami akan menggantikan sepasang panda baharu yang comel secepat mungkin,” katanya.
China akan memberikan Australia calon untuk dipilih, kata Li, yang tiba di Adelaide pada Sabtu dalam lawatan empat hari selepas Beijing menarik balik sekatan perdagangan ke atas eksport utama Australia.
Li berkata, Menteri Luar Australia dua kali mengingatkannya semasa lawatan ke Beijing November lalu, mengenai perjanjian panda yang akan tamat hujung tahun ini.
“Kami membuat pengumuman ini untuk memenuhi hasrat menteri,” katanya.
Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), terdapat 1,860 panda gergasi yang tinggal di habitat asalnya di China.- AFP










