21 rakyat Singapura teruja sertai ibadah korban - Utusan Malaysia

21 rakyat Singapura teruja sertai ibadah korban

SEBAHAGIAN daripada rakyat Singapura dan pelajar antarabangsa dari UniSZA serta UMT yang menyertai ibadah korban di Masjid Al Ansar, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kemeriahan sambutan hari raya Aidiladha di Terengganu meninggalkan kenangan manis kepada 21 rakyat Singapura yang melakukan ibadah korban di Masjid Al Ansar, di sini, hari ini.

Selain itu, Program ‘Maghi Bekwoh @Pantai Timur 2024’ anjuran Tourism Malaysia Wilayah Timur itu juga mendapat penyertaan daripada pelajar antarabangsa dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sebanyak 11 ekor lembu dan 15 kambing dikorbankan dalam program tersebut yang mendapat kerjasama Homestay Teluk Ketapang, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (Para) Kem Sri Pantai, Pengurusan Masjid Al-Ansar Teluk Ketapang dan komuniti setempat.

Beberapa peserta dari Singapura yang ditemui mengakui mereka teruja untuk merasai sendiri pengalaman menyembelih, melapah dan memasak daging lembu dan kambing yang dikorbankan kali ini.

Abdul Hamid Abdul Manan, 77, berkata, beberapa rakan dan saudara maranya pernah menyertai ibadah korban di Terengganu beberapa tahun sebelum ini dan sering menceritakan keseronokan mereka sepanjang berada di Terengganu.

“Mereka ceritakan pengalaman yang menyeronokkan dengan layanan mesra daripada komuniti setempat membuatkan kita tidak berasa seperti orang asing.

“Alhamdulillah, memang pengalaman ini sangat manis kerana kita dapat melapah sendiri daging korban dan bergotong-royong memasaknya untuk dinikmati beramai-ramai,” katanya.

Seorang lagi warga Singapura, Rogayah Abdullah, 71, pula berkata, dia sudah lama memasang impian untuk melakukan ibadah korban di Terengganu dan pada masa sama ingin melawat beberapa destinasi pelancongan terkenal di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Di sini, kami semua dapat mendalami adat dan budaya masyarakat setempat yang beragama Islam serta kemeriahan sambutan hari raya Aidiladha yang dilaksanakan dengan penuh bersemangat oleh umat Islam.

“Seronok dapat menjadi sebahagian dari komuniti di sini walaupun hanya sekejap, namun kemesraan yang terjalin diharap akan terus berkekalan selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN