PETALING JAYA: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan sejumlah RM50,000 sebagai sumbangan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.
Menurut AIM, badan itu dalam masa sama turut menghantar pasukan sukarelawan seramai 50 orang dalam misi bantuan banjir tersebut.
“Pasukan sukarelawan yang diketuai Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz turut membawa dua lori muatan satu tan barangan keperluan isi rumah yang keseluruhan bernilai RM50,000.
“Selain barangan keperluan utama iaitu tong gas, dapur, cerek, telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik, tuala wanita, barangan mandian, bantal, selimut, selipar, bekan kuasa mudah alih dan lain-lain, misi kali ini turut disertai dua jentera berat yang akan digunakan untuk kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang, kenderaan yang tersadai, dan membersihkan rumah kakitangan dan Sahabat AIM yang terkesan.
“Kesemua sumbangan dari AIM diserahkan Shamir ke Pusat Pengumpulan Bantuan Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai,” kata kenyataannya, hari ini.
Media, sebelum ini melaporkan, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir lumpur melibatkan lima kampung di Kupang, Baling yang sehingga ini mengorbankan tiga mangsa dan menyebabkan 1,500 penduduknya terjejas serta puluhan kediaman rosak.
Hujan lebat lebih tiga jam sejak Isnin membawa bersama lumpur tebal, timbunan pokok serta sisa kayu dari Gunung Inas berdekatan, mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi roboh manakala jalan utama terputus hubungan.
Antara kampung yang terlibat dalam bencana itu adalah Kampung Iboi, Kampung Bukit Ibor, Kampung Tok Pisang, Kampung Tok Saba dan Kampung Padang Empang.
Dalam pada itu, AIM turut memberikan moratorium bersasar selama enam bulan kepada 115 Sahabat AIM yang terjejas banjir tersebut.
“Sahabat AIM perlu membuat permohonan di cawangan masing-masing bagi inisiatif moratorium bersasar itu,” jelasnya.v- UTUSAN










