KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenakan perintah injunksi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memutuskan demikian atas alasan terdapat isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah melalui perbicaraan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika dihubungi media selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu.
Ahmad Zahid memohon perintah injunksi tersebut bagi menghalang penerbitan semula dan penyebaran rakaman kenyataan Dr. Mahathir yang didakwa memfitnah bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung kes jenayah yang dihadapinya.
Sementara itu, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr. Mahathir mengesahkan perkara tersebut dan turut memaklumkan mahkamah memutuskan demikian kerana ia bukanlah peringkat yang sesuai untuk pihak-pihak berhujah mengenai merit saman tersebut.
“Mahkamah berpendapat plaintif (Ahamd Zahid) perlu membuktikan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir adalah tidak benar.
“Oleh itu, permohonan interim ditolak dengan kos RM5,000 dan mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes,” kata peguam itu.
Pada 20 April lalu, Ahmad Zahid selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Dr. Mahathir yang dinamakan sebagai defendan berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.
Namun Presiden UMNO itu berkata, pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan disifatkan berbaur fitnah dengan niat jahat merujuk secara terus kepada plaintif.
Menurutnya, kenyataan berbaur fitnah itu dibuat dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Kenyataan itu antara lain menyatakan Ahmad Zahid bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.
Ahmad Zahid turut memfailkan permohonan injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platform media sosial.
Turut dipohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media di Youtube dan Facebook ‘Astro AWANI’ serta Youtube dan Tiktok ‘MalaysiaGazette TV’.
Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan. -UTUSAN










