Ahli Parlimen Warisan tak puas hati taklimat isu Kesultanan Sulu - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Warisan tak puas hati taklimat isu Kesultanan Sulu

MOHD. Azis Jamman (kiri) bersama Isnaraissah Munirah Majilis (dua kiri) semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parlimen Parti Warisan (Warisan) melahirkan rasa tidak puas hati dengan taklimat tertutup mengenai isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang disifatkan tidak menyeluruh.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, setelah mendengar taklimat semalam, beliau berpandangan masih ada keperluan untuk isu tuntutan waris Sultan Sulu diperdebatkan dalam Parlimen.

“Sejujurnya tidak puas hati kerana banyak persoalan yang kita suarakan tidak terjawab, mungkin sebab faktor masa. Itu sebabnya kita nyatakan perlu ada perbahasan dan sebagai ahli Parlimen, saya mahu menyatakan kepada kerajaan bahawa kita tahu had kita.

“Dalam kes seumpama ini, kita taklah bodoh selaku ahli Parlimen meminta kerajaan mendedahkan strategi kita untuk melawan (Filipina).

“Matlamat kita adalah memberi gambaran kepada kerajaan Filipina bahawa Sabah merupakan wilayah berdaulat dalam Malaysia jadi, jangan sesekali mengganggu gugat kedaulatan kita, itu sebenarnya motif kita,” katanya semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.

Mohd. Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) berkata, perdebatan dan perbahasan di Parlimen membolehkan negara ini menghantar mesej jelas kepada kerajaan Filipina mengenai pendirian Malaysia terhadap isu tuntutan itu.

Menurut beliau, jika kerajaan Filipina secara terbuka menyuarakan perkara ini seolah-olah mereka tidak menghormati kedaulatan Malaysia maka, apa sebab Parlimen rasa bacul untuk mempertahankan kedaulatan negara ini.

“Apa kita inginkan adalah 222 ahli Parlimen kita tanpa mengira parti politik, bersuara secara lantang untuk memberitahu kerajaan Filipina bahawa Sabah adalah wilayah berdaulat dalam Malaysia.

“Kita mahu dengar sebulat suara ahli Parlimen bagi menyatakan pendirian kita dalam isu ini. Sebarang tuntutan terhadap wilayah Sabah boleh mengganggu gugat hubungan diplomatik kita,” katanya.

Tambah beliau, penerangan yang disebutkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun hanya berkaitan rentetan peristiwa dan sejarah tuntutan dan tiada rahsia pun.

Malah waris Sulu juga sudah tahu dari segi rentetan sejarahnya, itu sebab isu tersebut perlu dibahaskan kerana di Filipina, dalam debat Presiden, mereka secara terang-terangan menyuarakan tentang tuntutan Sabah yang dikatakan sebahagian daripada wilayah mereka.

Mohd. Azis berkata, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan strategi untuk meletakkan kem tentera di pantai timur Sabah yang sering berhadapan dengan ancaman daripada Filipina dan Indonesia.

Katanya, ahli Parlimen Warisan mahukan komitmen kerajaan bagi memberi fokus untuk menempatkan kem tentera di pantai timur Sabah kerana apa pun boleh berlaku pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya jika ada serangan di pantai timur, Malaysia sudah bersedia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, tindakan membahaskan isu tuntutan itu tidak bermakna mereka mengiktiraf isu berkenaan.

“Namun, jika balik-balik menyatakan kita tidak mengiktiraf, itu tidak akan menyelesaikan isu ini. Maka, saya berharap mendapat reaksi positif daripada sesi taklimat semalam agar isu ini dapat dibahaskan di Parlimen,” katanya.

Semalam, satu sesi taklimat tertutup diadakan kepada anggota Parlimen berkaitan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta ahli-ahli Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya