PUTRAJAYA: Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) sepatutnya mengambil langkah membuat audit mengejut oleh pasukan audit bebas ke atas rumah sembelihan yang didakwa melanggar protokol halal tanpa cuba menafikan keseluruhan dakwaan dengan menyatakan ia hanya satu rekaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pekerja rumah sembelihan tu yang dikenali sebagai Osama berkata, ini bagi membuktikan keutuhan integriti halal memandangkan nama rumah sembelihan itu tidak didedahkan.
Dia yang terkejut penafian AHDAA yang seolah-olah menyindir Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai tidak cekap untuk menjalankan audit secara menyeluruh terhadap badan itu yang sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Jakim.
Pendedahan kepada umum salah laku itu, katanya, adalah bagi memelihara protokol halal agar umat Islam tidak termakan bangkai.
Apatah lagi, katanya, aduan telah dibuat beberapa kali kepada wakil AHDAA dan penyelia halal yang ditugaskan di rumah sembelihan itu namun tiada tindakan sewajarnya diambil.
Malah, katanya, percampuran antara daging lembu dengan daging babi dalam sebuah bangunan sama di tempat simpanan bersebelahan dengan rumah sembelihan itu perlu dijawab AHDAA.
Lebih menimbulkan keraguan ialah apabila pekerja penyembelih muslim tidak dibenarkan memasuki bangunan stor simpanan daging untuk melakukan pemeriksaan sama ada diasingkan atau bercampur dengan daging babi.
“Memang benar tidak ada daging babi diproses di rumah sembelihan ini, tetapi terdapat jambatan penghubung yang menggunakan tali sawat penghantar (conveyor belt) dari rumah sembelih ini untuk menghantar daging lembu ke stor penyimpanan syarikat lain yang turut menyimpan daging babi di bangunan yang sama.
“Kami tahu AHDAA mempunyai sistem dan standard halal terbaik yang ditetapkan kepada semua rumah sembelih seliaan mereka, tetapi sejauh mana AHDAA mengetahui setiap rumah sembelih benar-benar mematuhinya?
“Pelanggaran protokol halal ini benar-benar terjadi memandangkan kami sebagai bekas penyembelih yang pernah bekerja di situ bertahun-tahun menyaksikan dengan mata kepala sendiri dengan sokongan bukti berdokumen bagi membuktikan ia bukan sengaja direka cipta,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi bekas pekerja yang dikenali sebagai Umar mendakwa, sebuah lagi rumah sembelihan yang turut mendapat pengiktirafan halal AHDAA sewenang-wenangnya membawa masuk produk babi untuk dijual kepada pekerjanya mengikut permintaan.
Perbuatan sedemikian sah melanggar protokol halal sebagaimana disyaratkan dalam perakuan halal terhadap sebuah rumah sembelih untuk tidak membenarkan sebarang produk babi dibawa masuk ke lokasi sama dengan produk daging halal atas apa jua alasan sekali pun.
Akhbar ini sejak minggu lalu mendedahkan pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di sana selepas isu sama berlaku di Thomas Food Industries (TFI) di Lobethal, Australia.
Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal AHDAA itu menggunakan kaedah stunning iaitu menembak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih.
Namun cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus mengakibatkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.
Mengulas lanjut, Osama berkata, pihak AHDAA juga sepatutnya mengambil perkara ini sebagai satu usaha untuk memperbaiki amalan yang tidak betul ketika membuat penilaian terhadap setiap rumah sembelihan.
Katanya, jika AHDAA boleh bersikap terbuka, ia sekali gus mampu meningkatkan kredibiliti AHDAA di mata dunia sebagai badan halal luar negara yang disegani apabila tidak berkompromi dengan sebarang salah laku di rumah sembelihan.
“Sikap menafikan hanya menunjukkan AHDAA seolah-olah mahu melindungi rumah sembelihan itu sedangkan mereka tahu hal sebenar.
“Jika AHDAA mengambil sikap sebaliknya, sudah tentu Jakim boleh mempertimbangkan permohonan kelulusan yang mahu dibuat asalkan AHDAA boleh bertindak tegas untuk menarik balik pengiktirafan halal mana-mana rumah sembelihan yang diragui status halal,” katanya.
Selain Osama, dua lagi bekas pekerja rumah sembelihan itu yang dikenali sebagai Umar dan Ibrahim telah membuat akuan bersumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1959 di bawah Kerajaan Australia sebagai pengesahan segala dakwaan yang dibuat adalah benar. – UTUSAN










