Adakan sidang DUN Khas bentang RUU Anti Lompat Parti-PBS

Adakan sidang DUN Khas bentang RUU Anti Lompat Parti-PBS

DUN Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh 60 hari.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, pembentangan RUU itu perlu segera dibentangkan susulan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan RUU berkenaan hari ini.

 

“Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita sedia mengetuai pembentangan RUU Anti Lompat Parti di peringkat DUN Sabah.

“Biarpun RUU itu telah diluluskan di peringkat Parlimen namun, ia tidak terpakai di peringkat DUN Sabah dan Sarawak.

“Justeru, penting untuk kedua-dua negeri membentangkan RUU tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, undang-undang Anti Lompat Parti itu dijangka akan diwartakan pada September ini. Ia sekali gus akan membolehkan politik negara kembali stabil dan lebih ramai ahli politik yang berprinsip dan berintegriti mampu dilahirkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata, sidang DUN khas perlu diadakan bagi membolehkan RUU tersebut diluluskan dalam tempoh 60 hari daripada sekarang.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, selepas 37 tahun akhirnya perjuangan untuk kestabilan politik di negara ini dapat dilakukan. Ia bukan hanya di peringkat negeri tetapi juga, di seluruh negara.

Sebagai salah sebuah parti yang memperjuangkan tentang keperluan Akta Anti Lompat Parti, beliau sentiasa mengutuk perbuatan wakil rakyat yang melompat parti kerana itu tindakan yang tidak berprinsip.

“Pada saya, itu satu perbuatan yang kejam dan tidak adil. PBS telah cuba menghentikan budaya melompat parti ini dengan membentangkan undang-undang Anti Lompat Parti di peringkat DUN pada 1988 namun, ia diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi.

“Dahulu, kita bersendirian memperjuangkan perkara ini tapi sekarang, hasil kerja keras kita berbaloi,” katanya.

Di Sabah, wakil rakyat pertama digelar ‘katak’ kerana melompat parti ialah Datuk Payar Juman yang memenangi kerusi DUN Kiulu di bawah tiket UPKO yang dahulu dikenali sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pada tahun 1967.

Tindakannya melompat parti menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menyebabkan kejatuhan UPKO malah, beliau dilantik sebagai Menteri semasa pemerintahan bekas Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Harun.

Selepas itu, politik Sabah dicemari dengan budaya melompat parti hingga mengakibatkan ketidakstabilan politik di negeri ini.

Malah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau turut mengulangi sejarah sama apabila meninggalkan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan bersama-sama Parti Warisan pada 2018.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya