5A jadi asas penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary - Utusan Malaysia

5A jadi asas penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary

SEBAHAGIAN pelajar baharu melafaz ikrar sempena Majlis Orientasi AIU bagi Sidang Akademik 2021-2022 universiti berkenaan di kampusnya di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) berharap penuntut baharunya dapat menerapkan nilai-nilai murni yang menjadi teras universiti berkenaan sepanjang pengajian selain menggapai impian memperoleh segulung ijazah.

Naib Canselor AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Aziz Tajuddin berkata, 5A dalam nilai murni iaitu, akidah, akhlak, adab, amanah dan amalan perlu menjadi sebahagian daripada jati diri penuntut sehingga menamatkan pengajian kelak.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terpilih menjadi sebahagian daripada AIU. Anda semua adalah terpilih daripada ribuan pelajar dari seluruh dunia.

“Universiti ini adalah unik, berbeza daripada universiti swasta lain kerana kita tidak berasaskan keuntungan. AIU juga bukan universiti Islamik tetapi kita mempunyai lima teras yang dinamakan 5A.

“Ini yang saya ingin terus mengingatkan pelajar bahawa pengasas universiti ini (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary) sangat mengambil berat tentang perkara itu,” katanya pada Majlis Orientasi AIU bagi Sidang Akademik 2021-2022 di kampusnya di sini hari ini.

Kata Dr. Abdul Aziz, AIU ingin melahirkan bukan sahaja pelajar yang cemerlang akademik tetapi juga dari segi holistik demi berdepan dengan cabaran dunia hari ini.

“Saya juga berharap pelajar dapat menekankan peraturan lapan jam ini kerana kehidupan bukan semata-mata tentang bekerja dan juga membantu orang. Apabila anda membuat orang lain gembira, anda juga gembira.

“Jadi anda semua harus mempunyai masa lapan jam untuk belajar, lapan jam untuk berehat dan lapan jam untuk membantu orang ramai juga. Kita membina jatidiri ini dalam semua pelajar AIU,” katanya.

Sebanyak 375 penuntut dari 56 negara diraikan dalam majlis orientasi tersebut iaitu 351 daripadanya dari luar negara dan 22 pelajar tempatan.

Acara sumpah ikrar pelajar dalam majlis itu diketuai oleh Nur Fatihah Syahirah Nafrizam yang juga merupakan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar AIU.

Dalam pada itu menurut salah seorang pelajar baharu, Subhija Golic, 21 dari Bosnia Herzegovina, peluang melanjutkan pengajian di AIU adalah sesuatu yang paling indah dalam hidupnya.

“Saya ingin mengubah kehidupan keluarga di kampung halaman dan atas alasan itu saya rela datang ke Malaysia meninggalkan mereka semua. Saya berharap dapat menggapai impian saya kelak,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Sayed Eisa Rouhullah, 21, dari Afghanistan, berkata, impiannya adalah untuk membaiki kehidupan keluarga dan masyarakat di kampung halaman.

“Berasal dari negara penuh konflik membuatkan saya beruntung kerana terpilih belajar di sini. Saya bukan melarikan diri dari negara sendiri tetapi saya berkelana membaiki diri dan kelak pulang dapat melakukan sesuatu untuk keluarga dan masyarakat di tempat saya,” kata anak peniaga runcit ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya