KLUANG: Penduduk Kampung Melayu di sini, gempar dengan penemuan batu nisan 16 kubur yang dirosak dan dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab.
Imam Masjid Kampung Melayu, Ibrahim Ariffin melahirkan rasa kesal dengan perbuatan itu dan mempersoal motif sebenar pihak berkenaan.
“Yang menghairankan pihak berkenaan hanya memecahkan nisan yang diperbuat daripada seramik, yang lain tidak diganggu.
“Ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku dan kami mahu pihak berkuasa menyiasat punca dan mengambil tindakan terhadap pelaku ini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, di sini hari ini.
Katanya, perbuatan khianat itu dipercayai berlaku pada malam Isnin lalu.
“Saya mendapat tahu kejadian ini pada siang Selasa lalu dan selepas Zohor saya datang sendiri ke kubur ini untuk pastikan kesahihannya. Tukang membuat kepuk memberitahu ada 16 buah kubur yang dirosakkan.
“Seorang rakan yang dalam perjalanan dari Taman Seri Impian dan melalui tepi kawasan kubur pada malam Isnin lalu terlihat seseorang dengan membawa lampu melakukan aktiviti di kawasan ini,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya akan menyiasat tentang kejadian itu. – UTUSAN










