IPOH: Seramai 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah apabila gagal dalam ujian saringan air kencing, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua mereka dikesan hasil pemeriksaan secara rambang terhadap 56 anggota dari dua Ibu pejabat Polis Daerah (IPD).
Katanya, kesemua yang ditahan itu berpangkat Koperal dan Lans Koperal berusia antara 35 hingga 51 tahun.
“Seramai 31 anggota dari sebuah IPD telah diambil urin secara rambang di mana sembilan daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Selain itu, 25 anggota dari IPD lain juga dibuat ujian saringan dan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC),” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Jelajah Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 di sini semalam.
Yang turut hadir, pelakon dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie dan pelawak dan pelakon, Mohd. Saiful Azam Mohamed Yusoff atau Saiful Apek.
Beliau berkata, daripada 11 anggota yang ditahan itu, seorang daripada mereka pernah ditangkap dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, anggota itu bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah daripada pertuduhan berkenaan.
“Ini baru ujian awal, kita akan hantar air kencing anggota terlibat untuk ujian patalogi. Jika mereka disahkan masih positif dengan dadah-dadah tertentu, maka kita akan cadang untuk tuduh di mahkamah.
“Siasatan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggota sekiranya didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 selain berdepan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib).
“Sebelum ini ada yang pernah dituduh tetapi telah dibebaskan bagi pertuduhan tersebut. Pada kali ini, kita akan ambil tindakan kerana yakin mereka masih lagi terlibat dengan kegiatan berkenaan,” katanya. – UTUSAN