PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek remaja negara, Muhammad Danial Hakim Zulkaisi menutup tirai karier peringkat remaja dengan penuh bergaya apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Velodrom Tagaytay City, Filipina, kelmarin.
Kejayaan dalam acara penyingkiran lelaki remaja itu menyaksikan pelumba kelahiran Sarawak itu menewaskan pencabar Korea Selatan, Kim Se Won yang meraih perak manakala gangsa milik Yau Chung Ming dari Hong Kong.
Lebih manis, kemenangan tersebut hadir dalam tahun terakhirnya di pentas remaja sebelum melangkah ke skuad senior, sekali gus menepati sasaran peribadi untuk menutup kempen remaja dengan pencapaian terbaik.
“Saya tidak sangka mampu buat sebaik ini. Ini tahun terakhir saya beraksi kategori remaja. Memang sasaran saya mahu buat yang terbaik,” kata Danial.
Pingat emas yang diraih oleh pelumba berusia 18 tahun itu menjadi yang pertama untuk kem berbasikal trek negara sejak berlangsungnya kejohanan pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, Danial mengakui berdepan cabaran fizikal apabila mengalami sakit perut sejak sehari sebelum perlumbaan namun tetap cekal meneruskan kayuhan.
“Saya memang rasa sakit perut sebelum bermula tetapi tahan saja, lepas bantuan daripada pasukan perubatan saya rasa okay sikit dan tak sangka boleh menang sebab memang tak menjangkakannya,” katanya.
Untuk rekod, Danial turut hampir menambah koleksi pingat apabila bergandingan dengan Afif Darwysh Mohamad Nazir dalam acara Madison remaja lelaki, semalam namun sekadar menamatkan saingan di tempat keempat, sekali gus memberi petanda positif menjelang peralihannya ke pentas senior. – UTUSAN










