ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama ribuan rakyat menunaikan solat sunat Istisqa di Dataran Istiadat, Istana Arau Khamis lalu bagi memohon hujan berikutan situasi kemarau dan cuaca panas yang semakin meruncing di Perlis.
Bacaan doa itu turut dimasukkan dalam doa khutbah Jumaat di seluruh negeri dan umat Islam di Perlis juga diminta untuk sentiasa mengulang bacaan doa al-Istisqa setiap masa supaya Allah SWT menurunkan hujan.
Perlis sudah memasuki hari ke-101 tanpa hujan dan kini berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba) dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya empat hari berturut-turut direkodkan.
Bagi rakyat negeri ini, mereka sudah biasa berdepan cuaca panas setiap tahun, namun bahang kali ini terasa sangat luar biasa seolah-olah mengulangi peristiwa 1998 dengan suhu direkodkan ketika itu mencecah 40.1 darjah Celsius di Chuping. Tertinggi pernah direkodkan.
Cuaca panas melampau ketika ini menyaksikan empangan Timah Tasoh, Padang Besar dianggarkan hanya mampu bertahan 80 hari lagi sekiranya masih tiada hujan dan cuaca panas masih berterusan di Perlis.
Empangan tersebut ketika ini berada pada paras amaran iaitu 26.72 meter, hampir melepasi paras kritikal, 26 meter.
Kesan daripada cuaca panas berpanjangan yang menyebabkan penyusutan ketara di empangan tersebut juga menyaksikan jalan lama di situ kembali muncul. Laluan sepanjang kira-kira satu kilometer di Kampung Sahabat, Tasoh yang sebelum ini tenggelam selepas pembinaan empangan tersebut pernah menghubungkan Jalan Sahabat ke Batu 12, Kampung Tasoh.
Kebanyakan rakyat Perlis ketika ini lebih selesa berada di rumah dan tidak ramai melakukan urusan di luar memandangkan bahang sangat panas ‘membakar’ kulit.
Dalam sektor pertanian, kebanyakan kawasan mula kering-kontang, sekali gus menzahirkan kebimbangan terutama dalam kalangan pesawah bagi memulakan musim tanaman baharu.
Rata-rata pesawah ketika ini mengambil pendekatan menangguhkan terlebih dahulu kerja-kerja mengusahakan tanaman bagi mengelak sebarang risiko kerugian.
Ketika ini, anggota bomba Perlis juga menjadi antara yang paling sibuk apabila boleh dikatakan setiap hari terpaksa bergegas ke lokasi kebakaran hutan dan belukar di negeri ini. Pada bulan ini sahaja, sebanyak 203 kes direkodkan.
Melihat keadaan semasa, belum ada tanda-tanda Perlis akan hujan dalam tempoh terdekat.
Orang ramai diingatkan berjimat cermat menggunakan air dan tidak membazir memandangkan cuaca panas atau kemarau di Perlis tidak pasti bila akan berakhir selain terus berdoa agar hujan membasahi bumi Perlis ini.-UTUSAN










