Wujudkan dasar pengurusan krisis tangani kesan ekonomi - Utusan Malaysia

Wujudkan dasar pengurusan krisis tangani kesan ekonomi

RAFIDAH AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan dasar pengurusan krisis yang efektif bagi menangani dan menguruskan pelbagai isu yang timbul akibat impak masalah ekonomi yang serius di peringkat global selain Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran politik yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, dasar itu perlu dirangka segera dengan meliputi penyelesaian bersifat sementara di samping langkah jangka pendek dan panjang.

Katanya, sikap segelintir pe­mimpin yang hanya memikirkan Pilihan Raya Umum (PRU) menyebabkan kerisauan rakyat kini makin memuncak untuk menge­tahui tindakan lanjut kerajaan dalam berdepan situasi krisis.

“Maka, inilah masanya untuk mewujudkan dasar pengurusan krisis efektif, yang tujuan serta sasarannya dirancang dengan tepat dan teliti untuk Malaysia.

“Kita tidak boleh lagi tengok dan kaji sehingga nasi menjadi bubur dan sudah terkapai-kapai baru mahu mencari penyelesaian berkesan,” katanya semalam.

Rafidah turut menegur tindakan kerajaan memberikan perkhid­matan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL dan KTMB selama sebulan yang melibatkan kos sebanyak RM155 juta.

Katanya, peruntukan berkenaan mungkin boleh disalurkan bagi membantu golongan petani, penternak dan peniaga sekali gus menjamin isu keselamatan makanan selain menyelesaikan masalah pekerja asing yang menjadi tunjang kepada komoditi negara.

Malah katanya, langkah-langkah diambil kerajaan juga tidak jelas ekoran tiada penyelarasan antara kementerian dan jabatan sama ada di peringkat negeri de­ngan Kerajaan Pusat.

“Malaysia mungkin akan terlambat dalam menyelesaikan masalah-masalah berbanding dengan negara lain terutama yang menjadi saingan kita di pasaran global,” katanya.

Baru-baru ini, beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan rakyat sudah muak dengan politiking dan hanya mahukan kerajaan yang baik serta berkeupayaan bagi memulihkan negara ketika ekonomi dunia dalam keadaan tidak stabil.

Katanya, kerajaan sedia ada perlu membuktikan barisan kepimpinan mereka kompeten ketika situasi ekonomi dunia membimbangkan yang antaranya berpunca daripada kesan Perang Russia-Ukraine selain ketegangan politik di Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya