SEREMBAN: Seorang wanita warga emas buntu selepas ikhtiarnya untuk mengubati kaki kirinya yang semakin membesar akhir-akhir masih belum menemui jalan penyelesaian.
Serbiah Sa’ad, 75, berkata, dia yang menghidapi penyakit itu sejak 10 tahun lalu selepas menjalani pembedahan barah rahim.
Katanya, selepas pembedahan itu kaki sebelah kirinya mula membengkak namun tidak sebesar sekarang malah masih boleh berjalan.
“Pada bulan puasa baru-baru ini saya hanya terlantar di rumah kerana tidak boleh bangun dan berjalan kerana kaki kiri semakin membesar.
“Segala urusan harian tidak dapat dibuat sendiri termasuk terpaksa memakai lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui pemberita ketika ziarah Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) di Taman Mawar, Senawang di sini hari ini.
Tambah Serbiah, pelbagai ikhtiar telah dilakukan termasuk rawatan di hospital dan perubatan tradisional namun masih tiada perubahan.
“Saya cuma mahu dapat bangun dan uruskan diri sendiri serta pada masa yang sama dapat menunaikan solat dengan sempurna,” tambahnya.
Sementara itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed, meminta mana-mana pihak yang ingin membantu warga emas ini untuk tampil bagi meringankan beban.
“Saya meminta sekiranya ada pihak yang mahu membantu membuat rawatan alternatif boleh menghubungi saya di talian 012-360 5163,” katanya. –UTUSAN ONLINE










