Tiga ditahan, 22 tabung kutipan derma dirampas

Tiga ditahan, 22 tabung kutipan derma dirampas

ANGGOTA penguat kuasa JHEAINS ketika menjalankan Op Tabung di sebuah premis di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - IHSAN JHEAINS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai tiga orang ditahan manakala 22 tabung kutipan derma dirampas oleh anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam operasi khas berkaitan kutipan khairat (derma) tanpa kebenaran di daerah ini, semalam.

Op Tabung berkenaan dijalankan di 10 buah premis seperti di hadapan pasar raya dan kawasan bank di sekitar kawasan Senawang, Ampangan dan Sikamat.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Nik Azlan Nik Man berkata, operasi hasil maklumat orang awam itu melibatkan seramai 15  penguat kuasa JHEAINS diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah.

“Masyarakat membuat aduan dan kami kemudian melakukan risikan dan ternyata ia benar. Selepas operasi dibuat kami mendapati, kutipan-kutipan derma tanpa kebenaran ini datang dari pusat-pusat tahfiz dalam negara sendiri dan ada juga yang datang dari luar negara iaitu madarasah-madrasah di Selatan Thailand.

“Tiga individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 106(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan (EPAINS) 2003 manakala 22 tabung kutipan tersebut dirampas juga di bawah seksyen  sama. Ini merupakan operasi pertama seumpamanya dijalankan pada tahun ini dan ia tentunya akan berterusan untuk dijalankan,” katanya hari ini.

Mereka yang didapati bersalah menerusi seksyen tersebut boleh didenda RM3,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, beliau menasihatkan umat Islam khususnya di Negeri Sembilan yang ingin membuat kutipan derma dmeminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Bukan pihak berkuasa mahu menghalang untuk buat kutipan tetapi perlulah ikut peraturan dan mohon kebenaran kemudian urusan kutipan duit itu juga mestilah ikut peraturan juga iaitu mesti ada resit dan laporan.

“Kami hanya mahukan masyarakat berdisiplin dan operasi juga bertujuan mengawasi kerana ada kes pengutip derma ini yang melakukan penipuan dengan kutipan tersebut digunakan untuk tujuan peribadi. 

“Ia juga bertujuan mengelakkan pelbagai masalah penyelewengan kewangan berlaku, yang akan menyebabkan institusi agama Islam dipandang buruk oleh masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.