MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan pintu sempadan Malaysia-Thailand selepas negara jiran itu memutuskan membenarkan rakyatnya menanam pokok ganja bagi kegunaan sendiri, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keputusan Thailand itu secara langsung turut menimbulkan keghairahan kepada tokan tempatan untuk mendapatkan bekalan dari negara berkenaan.
Jelasnya, susulan itu polis akan melipatgandakan kawalan di kesemua pintu sempadan Malaysia-Thailand termasuk memantau pergerakan yang mencurigakan membabitkan cubaan penyeludupan ganja.
“Ini (kebenaran menanam ganja di rumah) memang akan beri kesan, akan timbulkan keghairahan yang lebih di pihak kita (Malaysia).
“Mungkin (penagih dan pengedar) ini akan memudahkan pergerakan ganja (untuk penyeludupan) sebab kerana ia sudah tiada had lagi di sana, susulan itu kita mengetatkan kawalan di semua pintu sempadan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel Seminar Isu Sosial Masyarakat 2022 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, PDRM juga telah mengemukakan cadangan beberapa pindaan membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan mengambil kira kemunculan dadah-dadah baharu pada ketika ini.
“Kita telah cadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara, contohnya sebelum ini bagi dadah jenis heroin, berat 15 gram memang dikenakan hukuman gantung, tapi bagi syabu dan pil ekstasi masih 50 gram. Itu yang kita cadang nak kurangkan lagi kepada 15 gram sebabnya sekarang ini banyak penagih terlibat dengan dadah jenis ini,” katanya.
Tambahnya, cadangan itu turut melibatkan tambahan senarai bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai dadah jenis baharu termasuk syabu, ketamin, pil kuda dan yaba, dengan setakat ini hanya 60 jenis bahan kimia disenaraikan di bawah akta itu, berbanding 900 yang telah dikuatkuasakan dalam perundangan negara lain. – UTUSAN










