'Tak senang duduk dengar siren bomba pukul 3 pagi'

‘Tak senang duduk dengar siren bomba pukul 3 pagi’

JENAZAH Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah dibawa  ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat pagi ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: “Semalaman kami sekeluarga tak dapat tidur mengenangkan nasibnya (Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah). Sehinggakan bunyi siren bomba pukul 3 pagi tadi pun kami tak ‘senang duduk’ kerana menyangkakan Mikhaeil dah dijumpai. Rupanya, ada kebakaran yang berlaku ketika itu.”

Itu kata Mazura Mokhtar, 46, ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang ditemukan lemas selepas mandi berdekatan Jeti Nelayan Bagan Ajam, Pantai Bersih di sini.

Mazura berkata, sejak kecil, Muhammad Mikhaeil Muqmin tinggal bersama neneknya dan kanak-kanak itu dijaganya bersama seorang lagi adiknya atau ibu saudara yang lain selepas neneknya meninggal dunia.

“Mikhaeil budak yang tak banyak songeh (kerenah). Cikgu-cikgu dia pun beritahu dia anak yang bijak. Walaupun anak saya sebaya dengan dia, saya selalu beritahu anak supaya ‘jadi’ macam Mikhaeil,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Mayat Muhammad Mikhaeil Muqmin yang dipercayai lemas sejak pukul 5.30 petang semalam itu dijumpai kira-kira pukul 9.15 pagi ini.

Difahamkan, ketika dijumpai, mayat kanak-kanak lelaki itu tersangkut pada bahagian tali pukat tidak jauh dari kawasan pesisiran Pantai Bersih di sini.

Kata Mazura, dia bersyukur kerana jasad anak saudaranya itu akhirnya dijumpai.

“Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya yang memberitahu, mangsa merupakan anak tunggal.

Sementara itu, seorang nelayan, Mohd. Safrizal Mohd. Nor, 33, berkata, dia merupakan individu pertama yang menjumpai mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tertiarap dalam kawasan berlumpur.

“Mula-mula saya nampak macam ada rambut timbul (di permukaan kawasan berselut). Masa tu hati saya dah kuat mengatakan dah jumpa mangsa,” katanya. 

Pegawai Kanan Bomba II, Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Muhammad Isharudin Ismail dalam pada itu memberitahu, ketika dijumpai, jasad mangsa berada dalam keadaan sempurna tanpa sebarang kesan luka.

“Mayat mangsa dijumpai kurang 500 meter dari lokasi dia dipercayai lemas atau kira-kira 100 meter dari kawasan pesisir pantai sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN