PETALING JAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) sentiasa mengawal selia tahap keselamatan secara berterusan di pepasangan, premis dan peralatan bagi mencegah kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa akibat kemalangan elektrik.
Timbalan Pengarahnya, Mohd. Hafez Abu Hassan berkata, pelbagai usaha dijalankan ST bagi mengurangkan kes kemalangan antaranya pemantauan yang lebih strategik di pepasangan elektrik di mana sering berlaku insiden melibatkan nyawa.
Dedah beliau, bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lepas mempunyai sebanyak 22 kes kemalangan elektrik dilaporkan, daripada jumlah tersebut 11 kehilangan nyawa.

“Pada tahun 2020, terdapat sembilan kes kemalangan dan empat kes maut, ini menunjukkan peningkatan dalam dua tahun. Bagi tahun ini pula, setakat ini hanya 11 kes direkodkan serta 10 kes maut.
“Dalam masa lima tahun lalu, pencawang elektrik, talian atas bervoltan tinggi dan bangunan kediaman merupakan tiga lokasi tertinggi berlakunya kemalangan tersebut. Pencawang elektrik menjadi lokasi utama ia kerap terjadi insiden itu,” katanya dalam program kesedaran pengendali genset.
Program tersebut berlangsung di Hotel Hilton dan disertai 21 peserta dianjurkan oleh Shyana HR Consulting And Training dengan kerjasama ST, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Ia diadakan untuk meningkatkan kesedaran peserta dari aspek pengetahuan dan kemahiran, malah ia turut ingin mencapai objektif dalam memberi kesedaran kesihatan serta prosedur keselamatan.
Mohd. Hafez turut menjelaskan, genset sekurang-kurangnya dikendalikan oleh penjaga jentera A4 ke atas dan mereka perlu berdaftar dengan syarikat sebagai pekerja sepenuh masa.
“Sebab kita ada kes dilaporkan, kemalangan yang berlaku berpunca daripada pengendali sendiri tidak tahu untuk mengendalikan kerana tidak biasa dengan mesin tersebut jadi berlaku kesalahan semasa mengendali.
“Peserta-peserta juga diingatkan mengikut pematuhan prosedur keselamatan, pastikan pengendali faham akan pemasangan genset itu supaya ia tidak berlaku kesalahan. Kabel itu juga perlu diuji dan sebagainya supaya tidak menyumbang kepada kes kemalangan,” jelasnya. – UTUSAN