Sindiket curi kenderaan mewah tumpas

Sindiket curi kenderaan mewah tumpas

ZAINAL Mohamed Mohamed (dua dari kanan), menunjukkan alatan yang digunakan oleh sindiket curi kereta selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Gombak, hari ini. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Satu sindiket curi kenderaan dikenali sebagai Geng Ah Beng tumpas selepas polis menahan 10 individu dalam beberapa siri Operasi Lejang Mewah di Perak, Pahang, Kedah dan Johor pada 17 hingga 22 Jun lalu.

Kesemua yang ditahan membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita berusia 35 hingga 62 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sindiket itu dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang, Johor, Perak dan Pahang sejak April lalu dengan menyasarkan kenderaan mewah di kawasan perumahan.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini menggunakan beberapa jenis peranti dan alat khas bagi membuka pintu kenderaan dalam tempoh 30 saat sebelum melumpuhkan sistem keselamatan dan menghidupkan enjin dalam masa dua minit.

“Kami percaya alat khas berkenaan yang melumpuhkan sistem keselamatan elektronik dalam kenderaan mewah terbabit dipercayai diperolehi dari negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Zainal memberitahu, modus operandi digunakan sindiket berkenaan dengan menyasarkan kenderaan mewah di kawasan perumahan atau apartmen pada waktu malam dan awal pagi.

Jelas beliau, kenderaan itu kemudian dijual di negara jiran melalui orang tengah pada harga antara RM7,000 hingga RM25,000.

Jelas beliau, kumpulan itu menggunakan pelekat cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu untuk mengelirukan pihak berkuasa sekiranya diperiksa.

“Dengan penahanan ini berjaya menyelesaikan 23 kes curi kenderaan membabitkan tujuh kes di Selangor dengan empat daripadanya dilaporkan di Gombak, Johor (lapan), Kuala Lumpur (empat), Perak (tiga) dan Pahang (satu).

“Semakan dilakukan mendapati enam daripada 10 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah termasuk suspek warga emas berusia 62 tahun terbabit yang memiliki 11 rekod jenayah,” jelasnya.

Tambah beliau, usaha mengesan saki baki ahli kumpulan ini sedang digiatkan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya