Perompak tinggalkan emas di luar kedai - Utusan Malaysia

Perompak tinggalkan emas di luar kedai

KEDAI emas dirompak di Bradford oleh sekumpulan lelaki bertopeng. - Facebook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRADFORD: Sekumpulan penjenayah bertopeng yang bersenjatakan kayu pemukul terpaksa berputih mata apabila terpaksa meninggalkan barangan kemas bernilai lebih £100,000 (RM531,268) selepas tindakan pantas pemilik kedai mengaktifkan bom asap.

Kejadian berlaku pada pagi Isnin apabila sebuah trak pikap merempuh masuk ke kedai Bradford Jewellery di West Yorkshire. 

Saeed Adam, 36, yang sedang menguruskan kedai tersebut segera menekan butang panik bagi mengaktifkan peranti keselamatan ‘Fog Bandit’ sebaik sahaja rempuhan berlaku.

Dalam masa beberapa saat sahaja, ruang kedai dipenuhi asap tebal yang membutakan pandangan, menyebabkan tiga perompak terbabit berpusing balik dan melarikan diri tanpa sempat mengambil barangan kemas yang dipamerkan.

Semasa kejadian pada jam 11 pagi waktu tempatan itu, kedai tersebut sedang melayani pelanggan pertama mereka yang terdiri daripada satu keluarga bersama seorang bayi.

Trak pikap suspek dilaporkan merempuh sebanyak dua kali pada dinding yang dibina khas bagi melindungi premis daripada serangan rempuhan.

Walaupun tiada barangan yang hilang, pihak kedai menganggarkan kerosakan mencecah £10,000 (RM53,136) dan kerja-kerja baik pulih dijangka memakan masa selama dua minggu.

Jurucakap Polis West Yorkshire mengesahkan bahawa tiada sebarang barangan yang dilaporkan dicuri dalam insiden di Barkerend Road itu. 

Pihak polis juga telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan atas cubaan merompak, namun suspek telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN