AMPANG: Komposer dan penyanyi, Aizat Amdan, bersama band metalcore, Sekumpulan Orang Gila (SOG), memilih untuk ‘melanggar’ struktur lagu yang sering digunakan dalam formula muzik pop menerusi kolaborasi terbaharu mereka berjudul Ajar Aku.
Menurut Aizat atau Muhammad Aizat Amdan, 37, kebanyakan lagu pop masa kini terikat dengan struktur sama yang memberi penekanan terhadap korus berskala besar atau grand chorus.
“Selalunya muzik pop mempunyai verse dan korus yang besar. Namun, untuk Ajar Aku, saya mahukan kelainan. Kami berbincang untuk menggunakan pendekatan seperti lagu Sungai Lui yang tidak mempunyai korus tetap, sebaliknya lebih menekankan bahagian outro di penghujung lagu.
“Ia satu eksperimen yang saya rasakan sangat berbaloi untuk dilakukan bersama SOG,” katanya pada sidang media Ajar Aku di The Campus, semalam.
Sementara itu, mewakili SOG, Raja Nazrin berkata, pendekatan yang dibawakan Aizat selari dengan identiti kumpulan tersebut yang sememangnya gemar menolak struktur muzik konvensional.
“Kami di SOG memang suka ‘melawan’ struktur biasa dalam muzik. Apabila Aizat datang dengan idea outro sebegitu, kami terus bersetuju.
“SOG mungkin dikenali dengan muzik yang keras, tetapi apabila Aizat memasukkan sentuhan lembutnya, dia seolah-olah berjaya menjinakkan bunyi kami agar sesuai dengan roh lagu ini,” katanya.
Menambah keistimewaan Ajar Aku, lagu itu turut menampilkan penyanyi, Yuna, yang disifatkan sebagai pelengkap kepada naratif karya berkenaan.
Aizat menyamakan struktur lagu tersebut seperti sebuah cerpen, dengan kemunculan vokal Yuna bertindak sebagai elemen penyelesaian kepada penceritaan yang dibina.
“Apabila suara Yuna masuk, akan berlaku satu perubahan dan kelainan. Jika diperhatikan, Yuna secara tiba-tiba mengubah mood lagu tersebut.
“Bagi saya, jika lagu ini diibaratkan sebagai sebuah cerpen, Yuna adalah bahagian penutupnya. Dia menjadi penyelesaian kepada segala persoalan dalam lagu ini,” ujarnya.
Terdahulu, Ajar Aku dihasilkan secara spontan menerusi sebuah program podcast dan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital serta YouTube. -UTUSAN










