SEREMBAN: Perdana Menteri meminta semua pihak tidak menjadikan keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tentang kemasukan calon Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai isu politik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pendidikan seumpama itu tidak wajar dijadikan polemik politik memandangkan keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan pendidikan dan masa depan pelajar.
Menurutnya, Kabinet telah memberikan ruang terhadap kemasukan pemegang UEC dengan syarat pelajar tersebut lulus mata pelajaran mandatori iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bila orang mengaitkannya dengan politik, di dunia sekarang semuanya dikaitkan dengan politik. UEC telah diputuskan Kabinet semalam dengan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah diterima, jadi kita beri ruang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.
Sementara itu Anwar berkata, syarat sama turut terpakai kepada pelajar daripada sekolah agama, tahfiz serta sekolah antarabangsa yang melibatkan pelajar Malaysia.
“Ini bukan sahaja terpakai kepada UEC, tetapi juga sekolah Arab, sekolah menengah tahfiz dan sekolah antarabangsa. Semua syarat sama iaitu perlu lulus SPM Bahasa Melayu dan Sejarah,”katanya
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa perincian masih diperhalusi sebelum keputusan itu dimuktamadkan sepenuhnya.
Semalam, KPT mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.-UTUSAN.










