Siasatan Hakim Nazlan: Keputusan rujuk persoalan undang-undang 19 Julai - Utusan Malaysia

Siasatan Hakim Nazlan: Keputusan rujuk persoalan undang-undang 19 Julai

MOHD. NAZLAN MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan seorang aktivis dan dua orang peguam untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali akan diputuskan pada 19 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat di sini semalam.

Hadir pada prosiding hari ini ialah peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili plaintif-plaintif iaitu aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Nur Ain Mustapa serta Sreekant Pillai.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga dalam saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lalu diwakili Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.

Dua persoalan yang ingin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan ialah sama ada badan penyiasatan jenayah termasuk SPRM dibenarkan untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang telah digantung tugas dan sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan prosiding bagi kesalahan yang dilakukan oleh hakim-hakim yang masih dalam perkhidmatan.

Terdahulu, Malik Imtiaz dalam hujahannya menyatakan, dua persoalan yang ditimbulkan adalah kompleks, membabitkan isu kuasa siasatan jenayah, kebebasan badan kehakiman yang berkaitan dengan doktrin pengasingan kuasa (separation of powers) dan keyakinan masyarakat kepada badan kehakiman.

“Walaupun terdapat banyak penghakiman di Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menyentuh mengenai isu-isu ini, tetapi tiada sebarang keputusan berkaitan kuasa badan penyiasatan jenayah untuk melakukan siasatan terhadap Hakim atau kuasa Pendakwa Raya untuk memulakan prosiding ke atas seorang hakim yang dikatakan melakukan kesalahan.

“Siasatan SPRM ke atas Hakim Mahkamah Rayuan adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Siasatan tersebut memberikan gambaran bahawa badan kehakiman sedang ‘diserang’. Ini adalah satu isu membabitkan kepentingan paling utama yang akan memberi kesan kepada badan kehakiman keseluruhannya,” kata peguam itu.

Sementara itu, Ahmad Terrirudin ketika berhujah menyatakan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan dalam kes membabitkan saman pemula pada peringkat awal (first instances).

Jelasnya, Mahkamah Persekutuan telah memberikan garis panduan yang sangat spesifik dan terperinci mengenai kes yang boleh dirujuk ke mahkamah itu pada peringkat awal.

Selain itu, Ahmad Terrirudin memberitahu, Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah menggariskan bahawa terdapat beberapa isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum kes dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

“Permohonan yang dibuat pada hari ini secara tidak langsung akan menjadikan peranan Mahkamah Tinggi tidak ubah sebagai pengutus pesanan sahaja,” katanya.

Menerusi saman pemula, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan kedua (SPRM) tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat kecuali jika mereka (hakim) digantung tugas.

Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap Hakim Mohd. Nazlan itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Kesemua plaintif antara lain memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan adalah tidak berperlembagaan.  

Pada 21 Mei lalu, Azam Baki dalam satu kenyataan memberitahu siasatan terhadap Hakim Mohd. Nazlan yang bermula sejak Mac lalu sudah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.

Hakim Mohd. Nazlan merupakan hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan pada 21 April lalu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, artikel yang ditulis oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account‘ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya