JOHOR BAHRU: Seorang jururawat di Johor terpaksa menguruskan antara 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, situasi itu jelas menunjukkan negeri ini berdepan isu kekurangan petugas kesihatan yang kritikal, melibatkan hospital-hospital utama.
Beliau berkata, tekanan kerja tinggi bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah memberi kesan terhadap kualiti rawatan yang diterima pesakit.
Katanya, kerajaan negeri komited bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan isu itu dapat diatasi.
“Realitinya amat membimbangkan, kekurangan petugas kesihatan di hospital utama melibatkan pelbagai kategori, termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau operasi Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, kelmarin.
Pada 8 Julai lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya isu kekurangan petugas kesihatan di tiga hospital awam utama iaitu HSI, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang akan beroperasi secara berfasa bermula 1 Ogos ini dapat diselesaikan dengan segera.
Situasi sama turut berlaku di Melaka, di mana sektor kesihatan awam negeri itu berdepan tekanan kerana mengalami kekurangan lebih 1,000 jururawat dan kira-kira 30 pegawai perubatan sehingga menjejaskan kelancaran operasi di hospital dan klinik kerajaan.
Onn Hafiz berkata, beliau merayu supaya pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan.
“Semoga petugas kesihatan di Johor terus dikurnia kekuatan, ketabahan dan perlindungan dalam menjalankan amanah. Terima kasih atas segala usaha dan kerja keras dalam menjadi tulang belakang sistem kesihatan negeri ini,” katanya. – UTUSAN









