Lantik hakim bersih, dihormati antara tuntutan Majlis Peguam

Lantik hakim bersih, dihormati antara tuntutan Majlis Peguam

Ahli-ahli Majlis Peguam berarak dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa untuk segera menyelesaikan empat tuntutan dalam memorandum yang diserahkan Majlis Peguam semalam termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, bagaimanapun mereka tidak menetapkan sebarang garis masa terhadap kerajaan mengenai perkara tersebut.

“Tujuan perarakan ini untuk menyokong kebebasan badan kehakiman. Kami ingin semua pihak mengiktiraf bahawa kebebasan badan kehakiman itu penting dan merupakan prasyarat kepada sistem demokrasi yang baik.

“Kami telah melihat banyak kenyataan media dan perbincangan di media sosial yang boleh menjejaskan kebebasan badan kehakiman. Kami mahu perkara ini diselesaikan. Kami meminta kerajaan untuk menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Pejabat Perdana Menteri, di sini semalam.

Terdahulu Mohamad Ezri menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Pe­ngarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Zamri Misman selepas berarak sejauh 2.6 kilometer bersama para peguam bermula dari Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri.

Antara yang turut kelihatan ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas; peguam, Ha­niff Khatri Abdullah dan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga.

Mohamad Ezri berkata, berdasarkan semakan yang dibuat oleh pasukan sekretariat, hampir 1,600 peserta menyertai perarakan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam itu.
Tambahnya, Majlis Peguam tidak berhasrat untuk menganjurkan perarakan lain sekiranya tuntutan di dalam memorandum ber­kenaan masih tidak dipenuhi.

Empat tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Membela Kebebasan Badan Kehakiman itu iaitu menyeru agar jawatan kepemimpinan kehakiman diisi dengan segera oleh hakim-hakim yang mempunyai perwatakan yang tidak tercemar, integriti, reputasi yang bersih, pengalaman kehakiman serta kepintaran yang diukur dan didemonstrasikan melalui rekod pembuatan keputusan dan penghakiman bertulis yang berkualiti, konsisten, dan jelas, serta dihormati oleh para hakim lain dalam Badan Kehakiman, para peguam, dan rakyat Malaysia.

Selain itu, Majlis Peguam mengulangi gesaan supaya mi­nit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) rasmi yang berkaitan diberikan kepada mereka tanpa berle­ngah.

Mereka mendesak agar siasatan segera dijalankan berhubung sama ada wujud campur tangan dalam urusan kehakiman dan atau mengesahkan apa yang dikatakan minit mesyuarat JAC yang diedarkan dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×