MELAKA: Barisan Nasional (BN) mampu mencatat kemenangan selesa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung kelak.
Ketua Sekretariat War Room BN/UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima daripada War Room BN Melaka yang menunjukkan BN mempunyai peluang untuk memenangi PRN Melaka.
Menurutnya, War Room BN Melaka telah diaktifkan lebih awal bagi memastikan segala persiapan menghadapi PRN berkenaan dapat dilaksanakan secara tersusun tanpa perlu menunggu tarikh pembubaran DUN diumumkan.
“War Room Melaka ini telah diaktifkan dan saya telah pergi awal tahun lagi ke War Room Melaka. Saya juga telah mengarahkan sebelum ini supaya persiapan dibuat lebih awal.
“Antara kekuatan kami adalah jentera. Gabungan antara jentera tempatan dan jentera luar yang membantu merupakan satu kekuatan tambahan kepada kemenangan.
“Kami dapat laporan dan maklumat yang kami terima bahawa BN akan memenangi PRN Melaka, insya-Allah,” katanya semasa sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja
ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jasin, Melaka, hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, jentera luar UMNO dan BN yang masih belum berada di Melaka diminta segera turun padang tanpa perlu menunggu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Katanya, kehadiran jentera BN dari luar Melaka ditagih bagi membantu persiapan pilihan raya, termasuk mengenal pasti kawasan operasi, penginapan serta menyusun gerak kerja bersama jentera tempatan.
Beliau berkata, BN tidak perlu menunggu pengumuman rasmi tarikh pembubaran DUN untuk memulakan persiapan kerana tempoh pilihan raya semakin hampir.
“Saya menyeru negeri-negeri yang masih belum menghantar jentera atau belum datang ke DUN yang telah ditetapkan supaya segeralah datang.
“Pergilah cari rumah untuk disewa misalnya. Kita tidak perlu lagi menunggu tarikh disebut kerana sudah tiada masa lain. Inilah masanya, kita hanya menunggu hari dan membilang hari,” katanya. – UTUSAN











