‘Ikat’ graduan perubatan, elak krisis kesihatan negara

‘Ikat’ graduan perubatan, elak krisis kesihatan negara

Utusan Online 14 Julai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang ‘mengikat’ graduan perubatan tempatan bagi mengelak mereka dari menabur khidmat di negara luar sehingga menye­babkan Malaysia kerugian dan kekurangan pekerja perubatan, sekali gus membentuk krisis kesihatan negara.

Perkara ini boleh dilakukan menerusi peraturan atau syarat baharu yang boleh dikenakan terutama bagi graduan peruba­tan yang menerima biasiswa ter­masuk dari Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pelajar yang menerima tajaan kerajaan hingga 95 peratus perlu diwajibkan berkhidmat di sektor kesihatan awam negara.

Pengerusi Majlis Dekan Fa­kul­ti Perubatan Universiti ­Awam Malaysia (MDFPUAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, graduan berkenaan perlu menunjukkan ‘kesetiaan’ mereka kepada negara selepas tamat pengajian.

“Kami pun setuju bahawa sepatutnya pelajar-pelajar yang menjalani program perubatan dengan menggunakan subsidi kerajaan, seharusnya ada sifat setia kepada negara kerana yuran mereka ditaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Agensi Pencarian Bakat Singapura kini dipercayai sedang ‘memburu’ doktor dan jururawat berkualiti dan berpengalaman negara ini untuk bekerja di republik itu dengan tawaran gaji serta elaun yang lebih tinggi.

Ini terbukti apabila agensi dari negara jiran itu bakal mengadakan sesi temuduga terbuka bagi pengambilan doktor berpengalaman di sebuah hotel di Kuala Lumpur bulan depan dengan iklan menawarkan pakej tahunan RM365,106 bersama perumahan dan faedah lain.

Pada 2015, Malaysia berhadapan dengan jumlah lambakan graduan perubatan iaitu sekitar 6,000 orang setahun dikeluarkan hingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu untuk penempatan housemanship dan kerajaan mula memperkenalkan sistem lantikan kontrak doktor pelatih.

Perkara itu menyumbang kepada masalah yang berlaku dalam sektor kesihatan awam ketika ini iaitu ramai doktor pelatih yang hanya menerima lantikan kontrak sehingga menyebabkan mereka memilih untuk berhijrah ke luar negara.

Mengulas lanjut, Dr. Jamalludin berkata, langkah mewajibkan pengkhidmatan itu perlu diselaraskan dengan jaminan kerjaya dan faedah yang baik untuk terus mengekalkan bakal pegawai perubatan itu di dalam sektor awam.

Ini kerana, jelasnya, pegawai perubatan memilih untuk meninggalkan sektor kesihatan awam adalah kerana masalah penjawatan yang kebanyakkannya bergantung kepada lantikan kontrak dan tiada jaminan bagi masa hadapan mereka.

“Kita hendak sangat ada doktor tetapi pada masa sama, kita kena pastikan perjawatan tetap itu ada. Hendak pegawai-pegawai perubatan ini kekal di dalam kerajaan maka perlunya laluan kerjaya yang jelas dan terjamin.

“Jika pegawai perubatan ini terus ditakut-takutkan dengan kata tiada perjawatan di dalam kerajaan, mereka terpaksa menunggu untuk jawatan kontrak dan akan diperbaharui sahaja, sudah pasti mereka akan cari tempat yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa terdapat banyak negara terutama Singapura yang kini menjadi tempat tumpuan untuk graduan dan pegawai perubatan berhijrah atas faktor pelbagai tarikan lumayan.

“Selain dari laluan kerjaya yang jelas, peluang untuk melanjutkan pengajian iaitu untuk buat kepakaran, tawaran-tawaran lain juga lumayan. Saya merasakan sukar untuk kerajaan bersaing dengan semua ini.

“Malah, ternyata dengan jelas daripada Majlis Perubatan Singapura bahawa lulusan dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka boleh terus bekerja di negara tersebut mengikut regulasi semasa. Jadi ini antara keistimewaan yang diberikan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah-masalah yang membebani sektor kesihatan awam sekian lama iaitu seperti isu buli dan beban kerja.

“Kementerian Kesihatan (KKM) perlu atasi masalah-masalah yang ada dan diperjelaskan kepada pegawai-pegawai perubatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN