A’ZAZ, SYRIA: Sebuah sekolah hasil inisiatif MyCare dan Econsave bakal dibangunkan di Perkampungan Ataa dekat sini bagi memberi peluang kepada anak-anak pelarian Syria mendapatkan akses pendidikan lebih selesa dan teratur.
Satu majlis pecah tanah diadakan di perkampungan itu disempurnakan Ketua Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave yang juga Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam dan wakil Kementerian Pendidikan Turkiye, Mustafa Kochak.
Sekolah tersebut dibangunkan bersama Ataa Relief, sebuah pertubuhan kemanusiaan berpangkalan di Turkiye, selaku pelaksana projek di perkampungan yang bakal menempatkan 600 keluarga pelarian itu.
Menurut Mohd. Zin, projek tersebut bakal siap antara enam ke sembilan bulan dan dibangunkan sepenuhnya untuk anak-anak pelarian Syria.
Dalam pada itu, Mas Imran memberitahu, pihaknya sudah memberi pendahuluan sebanyak 10 peratus untuk projek berkenaan yang bernilai RM1 juta.
“Sekolah ini boleh menempatkan sehingga 1,200 pelajar dan 200 kakitangan termasuk guru. Kita harap mereka dapat belajar di sini dan mencapai masa depan lebih cerah,” katanya.
Bagi pihak Turkiye pula, Mustafa melahirkan rasa terharu dengan sumbangan MyCare dan Econsave, biarpun jauh datang dari Malaysia demi persaudaraan sesama manusia.
“Terima kasih saudara-saudara dari Malaysia. Saya dapat rasakan hubungan persaudaraan sesama kita biarpun jauh beribu batu jarak antara kita. Semoga kita dapat bekerjasama lagi di lain masa demi kemanusiaan.
Selain sekolah, Perkampungan Ataa kendalian Ataa Relief bakal menempatkan 600 keluarga pelarian dan sehingga kini 200 unit rumah sudah siap dibina.
Perkampungan itu nanti akan turut dilengkapi masjid, sekolah latihan, hospital, pusat komersial dan kilang roti sebagai sumber utama makanan. – UTUSAN










