Sanusi buat tuduhan berat terhadap institusi kehakiman negara - Shahril

Sanusi buat tuduhan berat terhadap institusi kehakiman negara – Shahril

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membuat tuduhan berat terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, beliau menafikan dakwaan Sanusi bahawa Ahmad Zahid mendesak pilihan raya diadakan lebih awal bagi mengelakkan diri daripada berdepan hukuman penjara berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini.

“Ahmad Zahid tak desak PRU segera, cuma minta supaya tidak terlalu lewat atas pertimbangan strategik untuk parti dan untuk negara.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau hendak parti menang dan hendak Malaysia mendapat manfaat dari keadaan politik yang lebih stabil tanpa persoalan PRU. Apapun, soal ini akan dibincangkan oleh top 5 parti. Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman UMNO,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Pada masa sama, Shahril turut menyelar dakwaan Sanusi yang secara tidak langsung memberi bayangan bahawa BN akan menyalahgunakan kuasanya dengan mengubah keputusan mahkamah jika menang PRU-15.

“Apa yang cuba Sanusi katakan? Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?

“Kalau itu tuduhannya, sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada Ahmad Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, desakan terhadap tarikh PRU-15 tidak ada kena mengena dengan kes mahkamah Ahmad Zahid.

“Sekarang pun, Perdana Menteri dari UMNO. Berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?

“Tambahan lagi, tiada jaminan BN akan menang PRU. Suara yang menantikan PRU dan mandat baru ada dalam kalangan ahli parti dan rakyat. Mereka tiada kes mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN