GUA MUSANG: Seorang suami yang sebelum ini menjadi tonggak keluarga terpaksa berhenti kerja semata-mata mahu menguruskan isteri yang menghidap penyakit kencing manis kronik.
Amran Mamat, 49, melakukan pengorbanan itu bagi memastikan isteri, Suenoh Dueramae, 50, mendapat penjagaan yang terbaik apabila pergerakannya terbatas selepas ibu jari kaki kanannya terpaksa dipotong dua minggu lalu.
Amran yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, walaupun keputusan yang dibuat itu agak pahit namun dia tidak mempunyai pilihan kerana tiada siapa yang dapat mengurus serta menjaga isterinya.
Menurutnya, ketika ini dia berjimat cermat dan bergantung sepenuhnya kepada duit simpanan, wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah skim i-Citra.
“Sebelum ini isteri berniaga nasi di kedai makan, namun sejak masalah kesihatannya semakin merosot enam bulan lalu dia sudah tidak mampu untuk membantu mencari rezeki.
“Semasa sedang mencari rezeki, kaki isteri luka selepas tersepak objek dan doktor memberitahu ibu jari kakinya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Lama, di sini semalam.
Sementara itu, Suenoh memberitahu, sejak itu dia banyak berehat di rumah dan tidak dapat melakukan kerja berat.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melakukan demikian menerusi nombor akaun Bank Rakyat milik Suenoh Dueramae bernombor 221086050981 atau hubunginya di talian 019-6983504. – UTUSAN









