Redah jalan 15km cari air bersih

Redah jalan 15km cari air bersih

BAHARUDDIN Daud menunjukkan tong untuk menyimpan air yang sudah kering di rumahnya di Kampung Mambang Berulang, Mentakab, Temerloh, Pahang. – FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kira-kira 500 pendu­duk Kampung Mambang Berulang, Mentakab di sini bagaikan ‘jatuh ditimpa tangga’ apabila be­kalan air bersih di kampung berkenaan terputus sejak se­minggu lalu.

Bagi mendapat bekalan air bersih atau membeli air mineral, penduduk perlu melalui jalan kecil berliku sepanjang 15 kilometer atau 30 minit perjalanan.

Ini kerana jambatan gantung yang merupakan laluan utama penduduk merentasi Sungai Semantan rosak teruk dan tidak boleh digunakan ekoran banjir besar, Disember tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Shamsul Kamal Salleh, 59, berkata, masalah bekalan air ibarat mimpi buruk buat penduduk di kampung itu kerana ia kerap berlaku, empat atau lima kali setahun.

“Kejadian terbaru berlaku pa­da Jumaat minggu lalu menye­babkan bekalan air di rumah penduduk kering kontang. Sungguh menyiksakan terutama suri rumah untuk urusan rumah tangga.

“Aduan telah dimajukan kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) tetapi hanya sekali sebuah lori tangki di hantar untuk kegunaan penduduk seramai itu,” katanya di sini semalam.

Shamsul Kamal berkata, penduduk tidak tahan lagi ‘dugaan berat’ ketiadaan air untuk kegunaan harian apatah lagi rungutan seolah-olah dipandang sepi.

Tambahnya, lokasi kampung ini kira-kira dua kilometer dari Bandar Mentakab dan hanya di­pisahkan oleh Sungai Semantan sejak zaman berzaman.

Seorang lagi penduduk, Baha­ruddin Daud, 60, merayu jambatan gantung rosak di situ segera dibaiki kerana ia laluan utama ke Mentakab dan Temerloh.

“Walaupun kerajaan janji baiki atau menggantikan dengan jambatan konkrit yang memerlukan kos RM3 juta ke RM4 juta sebuah, tetapi sehingga ini tiada hujung pangkalnya,” katanya.

Menurutnya, akibat kerosakan laluan utama itu, penduduk perlu mengambil masa 30 minit keluar melalui jalan alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air bersih berbanding lima minit jika menggunakan jambatan tersebut.

Oleh itu beliau merayu pihak berwajib segera mengatasi masa­lah penduduk yang semakin tertekan ketiadaan air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya