Ramai yang tidak menyangka walaupun terselamat daripada serangan jantung, masih terdapat kerosakan tersembunyi yang boleh membawa kepada kegagalan jantung dalam tempoh sebulan atau tahun berikutnya.
Segera ke hospital sebaik sahaja mengalami serangan dapat menyelamatkan nyawa menerusi rawatan Stent. Namun, stent saja tidak mencukupi kerana ia adalah langkah pertama untuk membuka saluran darah bagi mengalirkan darah yang membawa oksigen.
Salur darah yang kecil iaitu yang 90 peratus membekalkan aliran darah di dalam otot jantung masih boleh kekal tersumbat atau rosak. Ini bermakna, sebahagian jantung masih memerlukan oksigen walaupun selepas prosedur rawatan yang tampak berjaya.
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Dr. Shathiskumar Govindaraju berkata, pemulihan aliran darah dalam arteri koronari utama tidak semestinya bermaksud otot jantung sudah pulih sepenuhnya.

“Rawatan segera lazimnya membabitkan prosedur angioplasti dan pemasangan stent, yang menjadi piawaian perubatan selama lebih 25 tahun. Namun, bagi sesetengah pesakit, kerosakan kekal pada otot jantung (yang dikenali sebagai infarksi) masih boleh berlaku, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan jantung.
“Serangan jantung yang sangat serius boleh menyebabkan kerosakan teruk pada jantung. Walaupun pesakit berjaya diselamatkan, mereka masih berisiko tinggi mengalami kegagalan jantung pada masa hadapan,” katanya.
Katanya, semasa serangan jantung, kerosakan bukan sahaja berlaku pada arteri besar yang tersumbat. Sebahagian besar kecederaan sebenarnya berlaku pada saluran darah yang lebih kecil dalam otot jantung itu sendiri.
Walaupun angioplasti berjaya dilakukan, saluran darah kecil ini mungkin tidak lagi berfungsi dengan baik, sekali gus menyebabkan kerosakan berterusan pada otot jantung.
Sehubungan itu, pakar kardiologi kini memberi perhatian bukan sahaja kepada membuka saluran arteri tetapi juga kepada bagaimana otot jantung pulih selepas prosedur dilakukan.
“Kecederaan pada tahap mikrovaskular (salur darah kecil) boleh menjejaskan proses pemulihan jantung, mempengaruhi fungsi jangka panjang organ itu dan dalam sesetengah kes, meningkatkan risiko kegagalan jantung.
“Matlamat utama rawatan bukan sekadar memastikan pesakit jantung terus hidup tetapi mengekalkan sebanyak mungkin otot jantung yang sihat dan menjalani kehidupan berkualiti,” katanya.
Oleh itu, pendekatan baharu yang menyokong pemulihan tisu jantung selepas angioplasti kini menjadi aspek penting dalam penjagaan kardiovaskular berikutan kerosakan otot jantung memberi kesan kepada kehidupan harian pesakit
Dr. Shathiskumar berkata demikian pada sesi memperkenalkan SuperSaturated Oxygen Therapy atau SSO2 iaitu rawatan pasca-angioplasti termaju yang bertujuan mengurangkan kerosakan otot jantung selepas serangan jantung widowmaker.
Ia sekali gus menjadikan BTMC sebagai hospital swasta pertama di Malaysia dengan terapi ini.
Penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia dengan sebahagian besar kes serangan jantung berlaku dalam kalangan individu berusia bawah 60 tahun. Serangan jantung biasanya berlaku apabila aliran darah dan oksigen ke jantung tersumbat atau berkurangan.
Berdasarkan data terbaharu Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) sehingga 2026, penyakit jantung Iskemik kekal sebagai pembunuh nombor satu negara dan berterusan menjadi punca kematian di seluruh dunia, kekal sejak dua dekad lalu.
Pada 2024, penyakit jantung Iskemik merekodkan 17,421 kematian, antara punca kematian yang dicatatkan dalam sijil kematian di negara ini.
Rawatan standard bagi serangan jantung adalah meningkatkan aliran darah beroksigen ke dalam salur darah utama jantung.
Antara kaedah digunakan adalah Angiplasti Belon, Stent Koronari, Drug-eluting stent (DES) iaitu stent jantung yang disalut ubat khusus untuk dilepaskan secara perlahan ke dinding arteri. Pada tahun 2019, terapi mikrovaskular diperkenalkan iaitu SSO2.
Kepentingan Masa dalam Rawatan Serangan Jantung
Dr. Shathiskumar berkata, tahap kerosakan otot jantung semasa serangan jantung sering menentukan hala tuju pemulihan pesakit selepas mereka keluar dari hospital.
Kegagalan jantung boleh memberi kesan besar kepada pesakit dan keluarga, menjejaskan kehidupan seharian serta memerlukan rawatan berterusan.
“Tahap kecederaan otot jantung mempengaruhi sama ada pesakit dapat kembali menjalani aktiviti harian seperti biasa atau berdepan masalah jantung kronik. Dengan memberi tumpuan kepada perlindungan tisu jantung pada fasa awal rawatan, bukan sahaja memberikan pemulihan jangka pendek tetapi juga kesihatan jantung dalam jangka panjang.
“Sebagai kardiologi, kami cuba untuk mengelakkan pesakit daripada mengalami kegagalan jantung. Jadi, prosedur tambahan menerusi terapi SSO2, diberikan sebanyak tujuh hingga 10 kali yang masuk terus ke saluran darah dan tisu jantung bagi mengurangkan bengkak pada otot jantung,” katanya.
SSO2, diberikan sebaik saja arteri dibuka dengan stents selama 60 minit bagi membekalkan oksigen berkepekatan tinggi (7-10 kali ganda). Seterusnya aliran darah normal dalam saluran darah terkecil dipulihkan. Ini membantu oksigen dan nutrien sampai ke otot jantung semula.
Serangan jantung berlaku apabila aliran darah yang membawa oksigen ke otot jantung tiba-tiba tersumbat, akibat arteri koronari atau salur darah menjadi sempit.
Salah satu bentuk serangan jantung yang paling teruk membabitkan anterior kiri (LAD), saluran utama yang membekalkan darah ke sebahagian besar jantung.
Serangan jantung jenis ini sering dirujuk sebagai widowmaker kerana risiko kematian yang tinggi atau kerosakan jantung jangka panjang tanpa rawatan segera.
Justeru, intervensi perubatan yang tepat pada masanya adalah kritikal kerana kekurangan oksigen yang berpanjangan boleh menyebabkan kecederaan kekal pada otot jantung.
Dianggarkan seorang daripada lima orang mengalami kegagalan jantung selepas menjalani prosedur stent. Lebih merisaukan, pesakit kegagalan jantung menanggung kos yang tinggi untuk dirawat iaitu RM199,000 bagi setiap pesakit.
Selain itu, pesakit terpaksa menjalani kualiti hidup yang merosot termasuk tidak boleh bekerja.-UTUSAN











