P. Ramlee sakit dada, jatuh dan terbaring - Utusan Malaysia

P. Ramlee sakit dada, jatuh dan terbaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jaga mama baik-baik.”

Itu pesanan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada anaknya, Sazali sebelum seniman agung itu menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 44 tahun.
Sazali, yang ketika itu berusia 15 tahun, mengimbau semula momen paling membekas dalam hidupnya, di saat-saat terakhir tokoh seni terulung negara itu.

“Sekitar pukul 3 pagi arwah mengadu sakit dada. Sebelum itu beliau terjatuh dalam bilik dan terbaring atas lantai. Beliau panggil saya dan adik beradik serta ibu kami, Saloma. Masuk ke biliknya. Abang saya, arwah Nasir masa itu sudah berumah tangga, tinggal berasingan.

“Arwah bapa seakan tahu yang beliau akan pergi juga pada pagi itu. Sempat berpesan suruh saya jaga mama dengan baik. Saat itu kepalanya diletakkan di atas riba saya.

“Semua itu sebelum arwah ibu menghubungi Hospital Kuala Lumpur (HKL). Bapa kemudian di bawa ke HKL dengan menaiki ambulans.

“Tidak lama selepas itu, saya terima panggilan arwah ibu, teresak-esak dia memberitahu bapa kami meninggal dunia. Katanya, doktor sudah cuba selamatkan nyawa, tetapi gagal,” katanya.

P. Ramlee insan disayangi dan disenangi ramai. Perkara itu terbukti dengan kehadiran ribuan manusia, pelbagai latar belakang bangsa dan agama, memenuhi pekarangan kediaman belliau di

Setapak, dan tanah perkuburan di Jalan Ampang bagi memberikan penghormatan terakhir.

“Dianggarkan kira-kira lebih 2,000 orang hadir. Berebut-rebut yang mahu mengusung jenazah, mengiringi perjalanan akhir arwah ke tanah perkuburan.

“Meskipun hujan, tanah perkuburan Islam Jalan Ampang waktu itu sesak orang ramai yang datang dari luar negara, termasuk Singapura memberi penghormatan terakhir,” kongsinya.

ANAKKU SAZALI

Antara banyak filem lakonan P. Ramlee, Anakku Sazali antara naskah bersifat realisme yang meninggalkan pedoman dan pengajaran nyata.

Malah, rata-rata besar masyarakat kita mengenal runut bunyi filem tersebut, Anakku Sazali ciptaan P. Ramlee.

“Lagu Anakku Sazali tanda kasih bapa buat saya walaupun lagu itu wujud sebelum saya dilahirkan lagi.

“Pernah satu masa, arwah panggil saya ke ruang tamu, minta menemaninya menonton Anak-Ku Sazali. Saya masih kanak-kanak waktu itu.

“Saya tahu arwah amat sayangkan saya, kerana itu saya dinamakan sempena nama filem berkenaan,” katanya.

Kata Sazali, P. Ramlee seorang bapa penyayang dan mementingkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

Kalau ada masa terluang, arwah, kata Sazali, lebih gemar meluang masa di rumah berbanding bersama keluarga.

“Allahyarham lebih suka berehat di rumah kalau bukan waktu bekerja. Hobinya mencipta lagu. Ilham beliau datang tidak kira masa. Kalau pukul 12 tengah malam atau pukul 1 pagi, masa itu jugalah dia berada depan piano,” katanya.

Namun kongsi Sazali, P. Ramlee akan memberi tumpuan penuh apabila mendapat idea mencipta lagu. Katanya, perkara itu boleh berlaku tiba-tiba, bila-bila masa.

“P. Ramlee tidak suka gangguan ketika beliau mencipta lagu. Bila beliau dapat ilham, kami adik beradik dan ibu saya Saloma akan berkurung dalam bilik.

“Kami tidak dibenarkan tengok televisyen, mahupun mendengar radio. Arwah ambil masa dua hingga tiga jam untuk buat lagu, setelah selesai, barulah kami dibenarkan keluar bilik,” ceritanya.

P. RAMLEE TIDAK hIDUP MELARAT

“Itu tidak benar.”

Itu jawapan Sazali apabila diminta mengesahkan dakwaan segelintir pihak yang kononnya, Allahyarham P. Ramlee susah dan melarat di hujung usianya.

“Arwah tidak susah. Makan cukup. Ada dua pembantu. Kereta ada dua. Mana ada susah.

“Memang beliau berdepan kesukaran di hujung usia, tapi untuk terus menghasilkan filem. Dana tidak cukup, hendak buat pinjaman, bank tidak luluskan.

“Kesusahan beliau daripada segi itulah,” katanya.

Sazali juga tidak menolak karier seni dan populariti Allahyarham pernah merudum ketika berlaku peralihan trend muzik tempatan dengan kemasukan genre muzik Pop Yeh Yeh.

“Ketika pengaruh muzik Pop Yeh Yeh mula menular dalam kalangan pendengar muda, ketika itulah nama P. Ramlee merudum.

“Malah, Allahyarham juga pernah dihina ketika membuat persembahan semasa fasa tersebut.

“Anak-anak muda masa itu lebih menyambut baik muzik Pop Yeh yYh yang dianggap moden ketika itu

“P. Ramlee sebenarnya sedih dengan keadaan itu. Sebab itu berat badannya meningkat sebab tertekan. Masa itu kesihatannya juga tidak diurus dengan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN