Di Malaysia, hubungan pelakon dan kru penggambaran lebih akrab - Aghniny Haque - Utusan Malaysia

Di Malaysia, hubungan pelakon dan kru penggambaran lebih akrab – Aghniny Haque

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Aghniny Haque, 29, mengakui lebih akrab dengan keluarga filem Khadam disebabkan pengambarannya yang melibatkan barisan pelakon dan kru yang sedikit jika dibandingkan dengan Indonesia yang menggunakan kru dan pelakon yang ramai.

Katanya, Pengalaman itu membolehkan dia melakukan pekerjaan yang dicintainya (lakonan) tanpa merasa terburu-buru.

“Di Indonesia, kami menggunakan pasukan yang ramai. Satu filem boleh mencecah sehingga 200 orang.

“Sebaliknya di Malaysia, prosesnya sangat intim. Cuma melibatkan puluhan kru untuk tempoh penggambaran yang panjang.

“Jadi hubungan kami akrab kerana setiap hari saya berjumpa orang yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aghniny, menerusi filem Khadam, melakonkan watak Melur iaitu seorang ibu, anak, kakak dan isteri yang bisu dan mempunyai dua anak.

Kehidupanya terbeban kerana membesarkan anak sendirian. Dalam masa sama, Dia perlu melawan khadam yang diturunkan kepada keluarganya.

“Cerita ini mengenai tahun 1950. Masyarakat ketika itu kurang cakna mengenai golongan bisu.

“Saya belajar untuk menyampaikan emosi tanpa kebergantungan untuk berdialog.

“Ia perlu datang dari dalam diri, menggunakan semua perkara kecuali berkata-kata.

“Saya perlu belajar bagaimana seorang pekak di tahun itu menjalani kehidupannya,” katanya lagi.

Aghniny merasa teruja menjelang malam gala filem itu yang bakal diadakan pada Selasa depan.

“Berlakon di Malaysia lebih istimewa kerana budaya kita sangat dekat sekali.

“Saya tidak berasa asing, malah seperti pulang ke rumah tapi dalam situasi berbeza.

“Saya bersyukur kerana kedatangan saya bukan atas nama pelakon Indonesia, tapi atas kapasiti pelakon yang ingin berkongsi bakat bersama audiens yang lebih besar,” ujarnya.

Khadam, filem seram yang turut menampilkan Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim bakal menghantui pawagam seluruh negara 11 Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN